IMF lulus pinjaman AS$3 bilion kepada Mesir


LEMBAGA Eksekutif Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada Jumaat meluluskan pinjaman AS$3 bilion kepada Mesir, dengan pengeluaran segera sebanyak AS$347 juta, kata IMF dalam satu kenyataan.

Mesir akan mendapat manfaat daripada pinjaman selama 46 bulan di bawah Kemudahan Dana Lanjutan. Perjanjian itu bagi 2,350.17 juta SDR (Hak Pengeluaran Khas) yakni unit akaun IMF berdasarkan sekumpulan lima mata wang antarabangsa utama, bersamaan dengan kira-kira AS$3 bilion.

Pinjaman itu pada mulanya diumumkan oleh IMF pada 27 Oktober.

Bantuan kewangan itu diberikan sebagai pertukaran untuk program ekonomi yang bertujuan “memelihara kestabilan makroekonomi, selain membuka jalan bagi pertumbuhan yang mampan, inklusif dan diterajui sektor swasta,” kata IMF.

Ia secara khusus menyebut “anjakan kekal kepada rejim kadar pertukaran yang fleksibel,” serta pelaksanaan “dasar monetari yang bertujuan untuk mengurangkan inflasi secara beransur-ansur.”

Langkah-langkah itu juga seharusnya mengurangkan hutang awam, “sambil meningkatkan perbelanjaan sosial,” dan melaksanakan “pembaharuan struktur yang meluas.”

Mesir dijangka menerima, melalui program EFF, kira-kira AS$14 bilion dalam pembiayaan tambahan “daripada rakan kongsi antarabangsa dan serantau,” tambah IMF.

Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine telah memberikan beberapa tamparan keras buat Mesir. Sebagai pengimport gandum terbesar di dunia, ia turut terjejas teruk oleh harga bijirin yang melambung tinggi. Ia juga telah kehilangan sebahagian besar pelancong Ukraine dan Rusia yang membentuk 40 peratus daripada lapan juta pelawat pada 2021. – AFP, 17 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen