Hadi Awang vs Anwar Ibrahim, ibarat Batman dan Joker


Izmil Amri

Perjalanan politik Hadi Awang dan Anwar Ibrahim bertembung sejak kedua-duanya bergiat aktif dalam Abim. – Gambar AFP, 17 Disember, 2022.

WATAK Joker dalam siri komik popular Batman adalah watak yang sangat menarik. Bahkan tidak keterlaluan kalau kita katakan bahawa Joker adalah tiang seri yang membangun siri Batman itu, sehinggakan ia demikian popular sejak zaman berzaman. Tanpa Joker, Batman boleh gulung tikar.

The Killing Joke, novel grafik yang ditulis Alan Moore, diterbitkan pada bulan Mac 1988. Tema besarnya menggarap asal muasal The Joker, watak tragis tersakiti yang berubah menjadi kejam dan hilang waras dalam sekelip mata. Wacana psikologi yang dihidangkan Moore dengan begitu cemerlang menjadikan novel grafik ini sebagai naskhah bercetak Batman yang paling popular.

Apa yang lebih menarik ialah bagaimana Moore membingkai asal usul Joker sebagai cerminan asal usul Batman.

Dengan hanya satu tragedi, kedua-dua watak ini berubah meninggalkan kisah silam masing-masing dan membentuk naratif perbalahan yang sangat panjang dan berselirat. Kedua-duanya memilih haluan yang berbeza, meski kedua-dua berdepan dugaan yang serupa – kehilangan anggota keluarga secara tragis.

Bruce Wayne, yang membesar menjadi panglima gelita itu berdepan persimpangan tragis yang membawa kepada transisi hidupnya ketika ibu bapanya dibunuh kejam setelah dirompak di sebuah lorong gelap. Berterabur rantai mutiara bondanya. Lalu Bruce bersumpah untuk mengheret para penjenayah ke muka pengadilan dengan mencipta persona bertopeng kelawar yang menjadi kesukaan ramai anak muda dan tua.

Joker pula, menurut jalan cerita tulisan Moore, seorang jurutera tidak bernama yang telah berhenti kerja di sebuah kilang bahan kimia untuk menjadi seorang pelawak, tetapi tiada berjaya.

Demi menyara keluarga, dia bersetuju untuk membantu dua penjenayah untuk merompak. Itu pun gagal. Pada hari yang sama isteri dan anaknya terkorban dalam kecelakaan di rumah.

Si Joker ini pula ketika melarikan diri dari Batman, melompat ke dalam sisa toksik yang akhirnya memutihkan kulitnya seperti kapur, dan menjadikan bibirnya merah menyala dan rambutnya berubah hijau. Takdir sial yang menimpanya justeru menjadikannya hilang kewarasan dan menjadi titik tolak kelahiran Joker.

Kisah perseteruan antara Joker dan Batman antara kisah utama adiwira itu. – Gambar AFP, 17 Disember, 2022.

Di sinilah Moore meletakkan tema utama asal kejadian seorang Joker: hanya satu hari sial dan segala-galanya boleh berubah. Segala-galanya ada punca, dan penting untuk kita melihat punca sesuatu perkara bagi menanggapi sebab musabab kenapa sesuatu itu berlaku.

Karya Moore yang satu ini ibarat membingkai Joker dan Batman seperti yin dan yang. Bingkai itu malah berlanjutan sehingga kini. Kedua-duanya saling melengkapi. Tak boleh tidak, ada salah satunya.

Lalu di sini kita bertanya, eh kenapa hubungan Batman dan Joker ini sama sebiji seperti Hadi Awang dan Anwar Ibrahim?

Hadi Awang

Saya membaca tulisan-tulisan Presiden PAS, Tuan Guru Tan Sri Dato’ Sri Haji Abdul Hadi Awang dengan penuh minat akhir-akhir ini.

Obsesi Haji Hadi terhadap DAP barangkali telah mencapai tahap merisaukan yang klinikal. Seperti pungguk rindukan bulan.

Obsesi Hadi mengulang sebut DAP sebagai zikir harian beliau bukanlah sesuatu yang normal dan wajar diberikan perhatian.

Malah itulah sebenarnya yang dimahukan oleh Haji Hadi – perhatian.

Hadi Awang lahir pada tahun 1947, sama sebaya dengan Perdana Menteri ke-10 Anwar Ibrahim. Hadi cuma muda dua bulan, Anwar lahir bulan Ogos. Pun begitu demikian ramai warga media sosial yang mendapat tahu tentang persamaan umur ini langsung tidak percaya, kerana menurut mereka Haji Hadi kelihatan begitu ganyut dan uzur. Berbanding si Anwar yang masih segak bertenaga.

Kedua-duanya membesar dalam Abim. Ketika Anwar menjadi presiden pertubuhan itu, Hadi mengetuai Abim Terengganu. Pada 1982 apabila Anwar meninggalkan Abim untuk menyertai Umno, Hadi pula bergerak menyertai PAS.

Hadi Awang muda dua bulan daripada Anwar Ibrahim dan kedua-dua mereka adalah tokoh penting dalam wacana politik Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Disember, 2022.

Apabila tercetus gerakan Reformasi, PAS (melalui Almarhum Fadzil Noor dan Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat) bergegas menyokong Anwar. Hadi justeru tidak begitu dipedulikan partinya sendiri. Anwar ternyata lebih menarik di mata pimpinan PAS untuk dijadikan pemimpin gerakan.

Sedangkan bagi Hadi, dia pastilah jauh lebih alim berbanding Anwar. Hadi berjubah, berserban, masuk politik dengan gelombang Revolusi Iran; berbanding Anwar yang hanya belajar bahasa, tidak masuk Al-Azhar, ‘liberal’ pula. Anwar tidak layak, rendah moral, mesra Barat, dan sebagainya.

Hadi malah pernah cuba menamakan Tengku Razaleigh sebagai calon Perdana Menteri ketimbang Anwar, meski duduk dalam koalisi politik yang diketuai Anwar, di mana Anwarlah calon PM-nya.

Maka bagi Hadi, apa sahaja anasir yang menyokong Anwar harus dimusuhi. Itu sebabnya para ‘Erdogan’ PAS dituduh ‘Anwarinas’ dan kemudian ditendang keluar daripada parti. Itu juga sebabnya DAP dimusuhi habis-habisan.

Mudahnya kerana DAP merupakan ketumbukan paling besar yang menyokong Anwar. Lebih mudah lagi kerana DAP adalah parti majoriti Cina dan ramai pemimpinnya bukan-Islam. ‘Easy target’. Senang kerja untuk dimomokkan dengan apa sahaja modal dan fitnah. Pengikutnya pasti akan percaya.

Serang DAP, serang Anwar

Oleh yang demikian kita harus faham bahawa setiap kali Hadi menyerang DAP, dia sebenarnya menyerang Anwar. Kerana cemburunya itu adalah terhadap Anwar. Kenapa nak serang DAP sedangkan kerusi PAS tiada pun bertembung dengan DAP.

Bukan DAP yang Hadi benci. DAP tidak menggugat PAS di Kelantan mahupun Terengganu. DAP tidak menggempur PAS di Kedah dan Perlis. Di kerusi-kerusi urban apatah lagi. Tidak ada PAS di situ. Kecualilah mungkin di Bangi baru-baru ini, apabila DAP meletakkan Syahredzan Johan sebagai calon. Menang pula.

Dan kerana Haji Hadi orang yang pandai ilmu mantiq, apa yang disebut, selalunya tidak sama dengan apa yang dimaksudkan; tetapi maksud itu sampai.

Hadi menuduh DAP menjadi punca Islamofobia. Padahal sebenarnya tidak ada pun kes Islamofobia di negara ini, seperti yang telah disyarahkan dengan panjang lebar oleh penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam beberapa siri kenyataannya.

Hubungan Anwar Ibrahim dan DAP menjadi isu utama yang diserang PAS.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Disember, 2022.

Apa yang Hadi maksudkan sebagai Islamofobia ialah penolakan terhadap PAS. Apabila Hadi menyebut tentang Islam, yang beliau maksudkan ialah PAS.

Ini sangat tidak wajar. Islam dan PAS adalah dua perkara yang sangat berbeza.

Tetapi Hadi tidak kisah, kerana adalah lebih mudah untuk membungkus parti dan kefahaman politik beliau dalam bungkusan Islam yang lebih bergemerlapan. Maka menyerang PAS, disamakan dengan menyerang Islam, berdosa, masuk neraka. Emosi penyokong pun mudah dicucuk dan dibakar.

Sebenarnya Hadi sepatutnya sudah boleh berhenti bersembunyi di sebalik perlambangan ini. Beliau perlu berani ke hadapan dan mengakui bahawa partinya adalah sebuah parti politik yang mahukan kuasa dan sedia mengambil kuasa dengan menjaja nama Islam, supaya orang ramai mudah dimanipulasi.

Hadi patut berani mengakui bahawa dialah yang sebenarnya lebih Islam dan Melayu berbanding Anwar. Bukankah itu yang beliau tegaskan dalam Amanat Haji Hadi yang sudah difatwakan sesat oleh Jakim?

Masihkah anda ingat pada amanat itu? – 17 Disember, 2022.

* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen