PENGERUSI Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub akan dilantik semula sebagai pengerusi Felcra, dua hari selepas Jemaah Menteri memutuskan untuk menamatkan serta merta perkhidmatan semua pengerusi dan ahli lembaga pengarah lantikan politik.
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata Ahmad Jazlan dilantik semula selepas beliau mengambil kira kehendak perwakilan Koperasi Peserta Felcra Bhd.
“Saya tak boleh untuk tak setuju untuk memberikan kepercayaan semula kepada Datuk Ahmad Jazlan. Dengan ini saya mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (Ramlan Harun) untuk mengeluarkan surat pelantikan semula dengan sesegera yang mungkin, tertakluk kepada persetujuan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
“Menteri sudah bersetuju atas arahan timbalan perdana menteri. Tidak mustahilah Datuk KSU segera menyempurnakan lantikan semula itu,” katanya, seperti dipetik BH Online.
Zahid berkata demikian semasa berucap pada Majlis Sambutan 40 Tahun serta Mesyuarat Agung Perwakilan Kali ke-40 Koperasi Peserta Felcra Bhd, malam tadi.
Ahmad Jazlan dilantik pengerusi Felcra berkuat kuasa 1 Oktober.
Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu lepas memutuskan semua pengerusi dan ahli lembaga pengarah lantikan politik ditamatkan perkhidmatan dengan serta merta.
Ia melibatkan jawatan di badan berkanun persekutuan, syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan), syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan.
Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali dalam sepucuk surat yang dikeluarkan pada hari sama mengarahkan semua ketua setiausaha kementerian untuk melaksanakan keputusan Jemaah Menteri itu.
Ahmad Jazlan antara pemimpin kanan Umno yang kalah pada pilihan raya umum lepas.
Beliau yang bertanding di kerusi Parlimen Machang kalah kepada ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal dengan majoriti 10,154 undi.
Ahmad Jazlan adalah ahli Parlimen Machang dua penggal sejak 2013. – 17 Disember, 2022.
Komen