Banjir besar Congo, lebih 160 maut


Wilayah Mont-Ngafula dan Ngaliema di barat ibu kota Congo adalah kawasan paling teruk terjejas. – Gambar AFP, 17 Disember, 2022.

LEBIH 160 orang maut dalam tragedi banjir terburuk di ibu kota Congo, Kinshasa, lapor pegawai PBB pada Jumaat memetik sumber pihak berkuasa.

Selepas hujan lebat yang bermula pada Selasa, jalan raya utama di Kinshasa, bandar dengan penduduk 15 juta orang, ditenggelami berjam lamanya dan laluan utama pengangkutan ke pelabuhan Matadi juga terputus hubungan.

“Setakat 16 Disember, pihak berkuasa Congo menjangkakan sekurang-kurangnya 169 orang meninggal dunia, sekitar 30 orang cedera dan menerima rawatan di seluruh bandar dan sekurang-kurangnya 280 rumah musnah,” kata Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA).

Kerajaan tidak mengumumkan data terbaru sejak Pejabat Perdana Menteri mengumumkan kematian seramai 120 orang pada Selasa.

Wilayah Mont-Ngafula dan Ngaliema di barat ibu kota negara itu adalah kawasan paling teruk terjejas, menurut OCHA, dengan hampir 38,000 orang penduduk menjadi mangsa banjir.

Hari berkabung tiga hari diumumkan bermula Rabu.

Terletak di tebing Sungai Congo, Kinshasa menyaksikan pertambahan penduduk sejak beberapa tahun lepas.

Ramai tinggal di kawasan setinggan yang berisiko tinggi banjir dan mengalami masalah perparitan dan kumbahan. – AFP, 17 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen