SPRM rampas dokumen siasat RM92.5 bilion dana Covid-19


Kalidevi Mogan Kumarappa

Sumber SPRM berkata lapan agensi kerajaan itu dikesan menerima peruntukan besar melalui pakej rangsangan diluluskan kerajaan terdahulu pada 2020 dan 2021. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Disember, 2022.

AGENSI anti rasuah merampas beberapa dokumen selepas menyerbu lapan agensi kerajaan dan sembilan syarikat bagi membantu siasatan dakwaan penyelewengan RM92.5 bilion oleh kerajaan melibatkan dana Covid-19.

Sumber SPRM berkata lapan agensi kerajaan itu dikesan menerima peruntukan besar melalui pakej rangsangan diluluskan kerajaan terdahulu pada 2020 dan 2021.

“Susulan serbuan di lapan agensi kerajaan, SPRM turut mengadakan serbuan susulan ke atas sembilan syarikat untuk mendapatkan dokumen berhubung pemerolehan projek berkenaan.

“Sembilan syarikat itu adalah pembekal utama kepada lapan agensi kerajaan itu,” katanya.

Kata sumber, semua dokumen itu perlu disiasat secara teliti bagi menyiasat jika ada unsur rasuah, salah laku kuasa atau penyelewengan dalam pakej yang diberikan kerajaan sebelum ini.

SPRM sebelum ini berkata siasatannya terhadap dakwaan salah guna dana pakej rangsangan ekonomi ketika Covid-19 tertumpu kepada sejumlah peruntukkan RM92.5 bilion yang dibelanjakan kerajaan terdahulu.

Dalam kenyataannya SPRM memaklumkan Kementerian Kewangan sudah memperincikan butiran dana itu bawah pakej rangsangan ekonomi pada 2020 dan 2021 berkaitan pengurusan pandemik Covid-19.

Hasil siasatan awal mendapati jumlah peruntukan itu dianggarkan berjumlah RM530 bilion, dan berdasarkan jumlah itu, RM92.5 bilion membabitkan dana kerajaan manakala RM437.5 bilion bukan daripada kerajaan.

Susulan itu, SPRM dikatakan bakal memanggil bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dan dua bekas menteri untuk membantu siasatan berhubung kes berkenaan. – 17 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen