10 maut apartmen terbakar di Lyon, Perancis 


SEPULUH orang, lima daripadanya kanak-kanak, maut dalam kebakaran di sebuah blok apartmen di pinggir bandar Lyon, kata kerajaan Perancis.

Kebakaran di Vaulx-en-Velin berlaku sekitar 3:00 pagi (0200 GMT) di sebuah bangunan yang dikenali sebagai tempat pengedaran dadah, kata Menteri Dalam Negeri Gerald Darmanin.

“Semua rumah pangsa musnah terbakar… Ia agak mengejutkan,” kata Yasmine, 22 tahun kepada AFP. 

“Tiada pintu penghadang api, tiada alat pemadam api.”

Pelajar itu berkata, salah satu pintu bangunan berkenaan telah “ditutup oleh polis, yang menjejaskan keselamatan semua orang”.

Saksi lain juga melaporkan pintu itu disekat.

Polis Lyon telah melancarkan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian, termasuk kemungkinan perbuatan khianat.

Darmanin berkata masih terlalu awal untuk menentukan bagaimana kebakaran itu bermula tetapi memuji kerja anggota bomba, yang tiba di tempat kejadian 12 minit selepas dimaklumkan.

Mereka “dapat menyelamatkan 15 orang dan mengambil risiko besar untuk nyawa mereka sendiri dengan memanjat bangunan dari luar kerana mereka tidak dapat masuk ke dalam dan menyelamatkan kanak-kanak dan bayi sehingga ke tingkat tujuh,” katanya.

“Tanpa kepantasan bomba dan keberanian mereka, jumlah korban pasti akan menjadi lebih ramai.

“Dua puluh empat orang cedera, termasuk empat yang masih kritikal,” kata Darmanin. Beberapa mayat mangsa masih belum dikenal pasti, tambahnya. – AFP, 17 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen