2 anggota misi PBB terbunuh di Mali 


Misi Minusma Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Mali bagi mengekang pemberontakan yang berlarutan sejak 2012.– Gambar Youtube, 17 Disember, 2022.

DUA pegawai polis yang berkhidmat dengan misi Minusma Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Mali terbunuh dan empat lagi cedera pada Jumaat, kata pasukan itu di media sosial.

Ia merupakan tamparan terbaru kepada operasi antarabangsa itu.

“Pasukan peronda Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu diserang pada 16 Disember di Timbuktu (Utara Mali). Dua daripada pegawai polis kami, termasuk seorang wanita, kehilangan nyawa dan empat yang lain cedera, seorang daripada mereka parah,” kata Minusma menerusi Twitter.

Pasukan itu turut mengutuk sekeras-kerasnya serangan berkenaan.

Ketua Minusma El-Ghassim Wane menerusi Twitter berkata pihaknya “sangat terkejut” dengan kejadian itu manakala seorang pegawai Minusma di Timbuktu memberitahu AFP kumpulan itu telah menghantar pasukan tindakan pantas kira-kira 30 minit selepas serangan itu.

Gabenor wilayah Timbuktu, Bakoun Kante memberitahu AFP bahawa penyerang terserempak dengan rondaan tentera ketika melarikan diri dari tempat kejadian dan seorang askar dan seorang penyerang terbunuh ketika berbalas tembakan. Kante menambah keadaan kini terkawal.

Mali telah bergelut dengan pemberontakan sejak 2012. Ribuan nyawa telah terbunuh dan ratusan ribu telah meninggalkan kediaman mereka. – AFP, 17 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen