POLIS Jakarta semalam menahan sembilan suspek yang didakwa mendera seorang pembantu rumah di sebuah unit pangsapuri di Simprug, Kebayoran Baru.
Dalam satu kenyataan, Pengarah Siasatan Jenayah Am Metro Jaya Hengki Haryadi berkata suspek yang ditahan termasuk sepasang suami isteri warga tempatan dan enam pembantu rumah lain.
Polis menahan semua suspek di bawah Kanun Jenayah dan Undang-undang Keganasan Rumah Tangga yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, selepas mangsa membuat aduan.
Mangsa, Siti Khotimah, 23, dari Pemalang, Jawa Tengah, dikatakan didera sejak 18 September hingga 7 Disember selepas didakwa mencuri pakaian majikannya.
Ketua Unit Belia, Kanak-Kanak dan Wanita Metro Jaya Ratna Quratul Aini berkata mangsa dipukul dan disimbah air panas mengakibatkan kecederaan parah di badan dan kepala.
“Mangsa digari dan dipaksa tidur dalam kandang anjing,” kata Ratna.
Pejabat Eksekutif Presiden Republik Indonesia turut mengutuk dakwaan layanan tidak berperikemanusiaan terhadap pembantu rumah itu dan menggesa siasatan lebih teliti dijalankan.
“Kami berharap polis akan mengambil tindakan optimum terhadap suspek supaya ia boleh menjadi pengajaran kepada majikan lain,” kata pegawainya, Erlinda.
Bulan lepas, polis Cimahi menahan sepasang suami isteri di Bandung Barat, Jawa Barat bagi membantu siasatan berhubung penderaan terhadap pembantu rumah mereka yang berusia 29 tahun, dikenali sebagai Rohimah. – Bernama, 16 Disember, 2022.
Komen