Putin lawat Belarus Isnin ini, bincang isu rantau, dunia


Presiden Rusia Vladimir Putin dan rakan sejawat Belarus Alexander Lukashenko yang juga sekutu Moscow dijangka akan menyentuh isu keselamatan dan situasi di rantau tersebut dan dunia. – Gambar AFP, 16 Disember, 2022.

PRESIDEN Rusia Vladimir Putin akan melawat Belarus pada Isnin untuk berbincang dengan rakan sejawatannya dan sekutu Alexander Lukashenko, kata pejabat pemimpin Belarus itu.

Presiden Belarus berkata pada hari Jumaat, kedua-dua mereka akan mengadakan perbincangan di Istana Kemerdekaan, pejabat Lukashenko, di Minsk dalam “lawatan kerja” Putin itu.

Lawatan tersebut muncul 10 bulan selepas serangan Rusia di Ukraine, yang dilancarkan dari beberapa arah, termasuk wilayah Belarus.

Minsk berkata mereka itu juga akan mempengerusikan rundingan antara menteri-menteri dua negara itu tentang “integrasi Belarus-Rusia”.

Moscow dan Minsk komited untuk kerjasama ekonomi dan pertahanan yang lebih mendalam.

Kenyataan itu turut menyebut “presiden akan memberi keutamaan kepada isu keselamatan dan bertukar pandangan mengenai situasi di rantau ini dan dunia” tanpa menyebut Ukraine.

Lukashenko, yang berkuasa sejak 1994, telah berulang kali berkata beliau tidak berhasrat untuk menghantar tentera Belarus ke Ukraine.

Kali terakhir Putin melawat Belarus pada 2019. – AFP, 16 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen