IAEA perlu laksana peranan hapus senjata nuklear Korea Utara


IAEA boleh memainkan peranan membina dalam membuka saluran komunikasi sebagai usaha untuk penghapusan senjata nuklear Korea Utara, kata ketua agensi itu. – Gambar fail EPA, 16 Disember, 2022.

AGENSI Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) boleh memainkan peranan membina dalam membuka saluran komunikasi sebagai usaha untuk penghapusan senjata nuklear Korea Utara, kata ketua agensi itu.

“Dalam penyelesaian (kebuntuan nuklear) ini, saya yakin pembukaan saluran komunikasi sangat diperlukan.

“Saya juga yakin IAEA boleh memainkan peranan yang membina dalam hal ini,” kata Ketua Pengarah IAEA Rafael Mariano Grossi dalam temu bual bersama media Korea Selatan di Seoul, lapor Yonhap.

Beliau tiba di Seoul pada Rabu untuk bertemu para pegawai mengenai isu program nuklear Korea Utara serta rancangan Jepun untuk melepaskan air radioaktif dari loji kuasa nuklear Fukushima ke laut pada musim bunga akan datang.

Lawatan itu kunjungan pertama beliau ke Korea Selatan selaku pemimpin IAEA.

Bercakap ketika pertemuan dengan Presiden Yoon Suk Yeol sehari sebelumnya, Grossi berkata agensi itu akan mampu memainkan peranan lebih luas andai diperlukan.

Mengenai isu pelepasan air Fukushima, Grossi berkata agensi itu memandang serius kebimbangan yang disuarakan negara jiran.

Korea Selatan menggesa Jepun supaya mengadakan perbincangan mendalam dengan negara jiran sebelum meneruskan rancangan itu dan berusaha mendapatkan sokongan antarabangsa sebagai jalan alternatif.

“Ia proses yang berterusan, jadi kami tidak boleh terus membuat sebarang kesimpulan,” katanya sambil menambah komitmen IAEA adalah untuk memastikan proses itu mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa. – Bernama, 16 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen