ICC boleh tamatkan 'impunity' tentera Myanmar


Pada 1 Februari, 2021, tentera Myanmar melakukan rampasan kuasa kerana mendakwa kononnya berlaku banyak penipuan dalam pilihan raya 2020 yang dimenangi Liga Demokrasi Kebangsaan pimpinan Aung San Suu Kyi. – Gambar fail EPA, 16 Disember, 2022.

MAHKAMAH Jenayah Antarabangsa (ICC) boleh menamatkan segera impunity (pengecualian daripada dikenakan hukuman) ke atas tentera Myanmar, menurut Majlis Penasihat Khas Myanmar (SAC-M).

Kumpulan bebas pakar antarabangsa itu menyatakan kekejaman hak asasi manusia di Myanmar semakin berleluasa sepanjang tahun ini dan akan berterusan melainkan tentera dipertanggungjawabkan.

Dalam laporan “Myanmar and the International Criminal Court” yang dikeluarkan semalam, SAC-M merumuskan ICC mempunyai bidang kuasa berhubung dengan Myanmar dan masyarakat antarabangsa mempunyai tanggungjawab untuk memastikan pemimpin tentera Myanmar segera didakwa kerana melakukan pembunuhan beramai-ramai, jenayah kemanusiaan dan jenayah perang.

Laporan itu turut menjelaskan mengenai asas undang-undang untuk membolehkan siasatan ICC diperluaskan kepada semua jenayah dilakukan tentera terhadap Rohingya dan semua jenayah yang dilakukan terhadap orang awam di seluruh Myanmar sejak 2002 sebagaimana yang termaktub dalam Statut Rom.

“Ini termasuk jenayah dilakukan selama bertahun-tahun terhadap etnik minoriti di seluruh negara dan jenayah terhadap orang awam secara berleluasa khususnya berikutan rampasan kuasa Februari 2021,” menurut laporan itu.

Sementara itu, Yanghee Lee dari SAC-M berkata masyarakat antarabangsa mesti melakukan segala yang mungkin untuk membawa mereka ke muka pengadilan di ICC.

Beliau berkata keadaan hak asasi manusia di Myanmar semakin meruncing tahun ini.

“Selagi perbuatan mereka tidak dihentikan, (ketua junta Myanmar) Min Aung Hlaing dan jeneralnya akan terus melakukan kekejaman terhadap rakyat Myanmar,” kata bekas Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai situasi hak asasi manusia di Myanmar itu.

Pada Julai 2021, beberapa bulan selepas rampasan kuasa tentera Myanmar yang menyalahi undang-undang, Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) telah membuat deklarasi menerima bidang kuasa ICC di Myanmar sejak 1 Julai, 2002.

Pengisytiharan itu sepatutnya memberikan kuasa kepada ICC untuk menyiasat keadaan di seluruh wilayah Myanmar.

Sementara itu, Chris Sidoti dari SAC-M berkata sistem antarabangsa termasuk ICC tidak boleh terus membiarkan tahun ini berlalu bergitu sahaja tanpa sebarang keadilan ditegakkan untuk Myanmar.

“Kami menyeru Min Aung Hlaing dan jeneralnya didakwa kerana pembunuhan beramai-ramai, jenayah kemanusiaan dan jenayah perang sejak 2018.

“Sepatutnya dengan pengisytiharan Kerajaan Perpaduan Nasional itu, ICC mempunyai bidang kuasa ke atas pembunuhan beramai-ramai, jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang yang dilakukan di Myanmar,” katanya.

Pada 1 Februari, 2021, tentera Myanmar melakukan rampasan kuasa kerana mendakwa kononnya berlaku banyak penipuan dalam pilihan raya 2020 yang dimenangi Liga Demokrasi Kebangsaan pimpinan Aung San Suu Kyi. – Bernama, 16 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen