Kemiskinan haid: Ambil langkah kanan, lindungi wanita terkesan.


PADA 2018, Bank Dunia melaporkan lebih 500 juta wanita di seluruh dunia mengalami kemiskinan haid. di mana mereka tidak mampu mendapatkan akses kepada alat-alat kebersihan asas, produk sanitari dan bekalan air bersih sewaktu haid. 

Negara kita juga sebenarnya mempunyai masalah yang sama.

Walaupun isu kemiskinan haid adalah satu isu yang sangat besar, namun ianya masih belum dijadikan polemik di dalam negara kita.

Jadi sehingga hari ini, kita tak ada data berapa ramai penduduk dalam negara yang terkesan dengan isu kemiskinan haid. 

Sedangkan wanita yang mengalami kemiskinan berhadapan dengan cabaran daripada segi fizikal, mental dan emosi.

Walaupun kebanyakan masalah kemiskinan haid berlaku di kawasan pendalam, dalam kawasan urban juga masih ada keluarga yang miskin haid. 

Isu kemiskinan haid ini sebenarnya bersangkut paut dengan pelbagai isu lain.

Sebagai contohnya, ada yang tidak tak dapat ke sekolah kerana tidak mampu membeli tuala wanita. 

Bayangkan, setiap bulan anak-anak ini tidak dapat ke sekolah kerana tidak ada akses kepada alat kebersihan asas. S

edangkan mereka memerlukan akses kepada pendidikan bagi membawa keluarga keluar daripada kepompong kemiskinan. 

Selain pendidikan, masalah kemiskinan haid ini juga berkait rapat dengan isu kesihatan.

Ada yang terpaksa pakai tuala wanita sama buat jangka masa panjang kerana perlu berjimat dan seterusnya mengakibatkan jangkitan kuman.

Ada juga yang tidak dapat membersihkan diri dengan sempurna kerana tidak mempunyai akses kepada air bersih. 

Bayangkan sudahlah mereka tak cukup wang untuk beli tuala wanita, tak dapat pergi ke sekolah dan wujud pula isu kesihatan yang masih menjadi stigma dalam masyarakat.

Akhirnya banyak yang tidak mendapatkan rawatan di hospital atau klinik kerana risau dipandang serong. 

Sudah jatuh, ditimpa tangga

Sedangkan tuala wanita sepatutnya dilihat sebagai keperluan asas. Sama pentingnya dengan makan minum, tempat berteduh dan ubat-ubatan. 

Kita lihat banyak negara yang telah memulakan inisiatif untuk menyelesaikan isu kemiskinan haid.

New Zealand, Perancis dan Kenya memberikan akses tuala wanita percuma kepada pelajar-pelajar di sekolah.

Usaha ini sebenarnya perlu diangkat sebagai salah satu usaha memastikan kesaksamaan dalam akses pendidikan. 

Scotland pula mencatat sejarah sebagai negara pertama yang menyediakan tuala wanita secara percuma di kawasan awam seperti pusat komuniti dan farmasi.

Usaha ini tidak mustahil. Kita lihat bagaimana Selangor dalam Belanjawan 2023 telah membentangkan inisiatif berjumlah RM200,000 untuk memberdayakan wanita dan menyediakan tuala wanita percuma.

Saya juga ambil kesempatan dalam ucapan saya di Sidang Dewan Undangan Negeri Johor tempoh hari, menggesa Johor untuk mengambil usaha proaktif menangani isu kemiskinan haid di Johor. 

Cadangan saya adalah untuk kita mulakan usaha ini dengan memberi tuala wanita percuma secara berfokus kepada wanita miskin tegar dan juga penyediaan tuala wanita percuma di sekolah.

Jangan sampai ada anak-anak yang keciciran pendidikan semata-mata kerana mereka tidak mampu untuk mendapatkan tuala wanita. 

Kita perlu giatkan juga usaha mendidik masyarakat supaya tidak pandang isu ini sebagai satu perkara remeh atau lebih teruk lagi sebagai satu tabu besar sehingga ramai yang takut untuk membincangkan isu kemiskinan haid. 

Saya harap perkara ini dipandang serius oleh menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat yang baharu.

Ambil langkah kanan, lindungi wanita yang terkesan dengan isu kemiskinan haid. – 16 Disember, 2022.

* Amira Aisya Binti Abd Aziz, Adun Puteri Wangsa merangkap timbalan presiden Muda.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen