MAJLIS Eropah pada Khamis memberikan Bosnia-Herzegovina status calon untuk keahlian Kesatuan Eropah (EU), lapor Agensi Anadolu.
Pemimpin Kesatuan Eropah (EU) meluluskan keputusan status calon itu pada sidang kemuncak di Brussels berikutan cadangan Suruhanjaya Eropah pada Oktober lalu dan pengundian mengenainya dijalankan dalam Majlis EU dan Majlis Hal Ehwal Am minggu ini.
Keutamaan utama Bosnia-Herzegovina ialah menyertai komuniti politik dan ekonomi negara Eropah selain menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).
Negara Balkan itu menjadi calon berpotensi untuk blok berkenaan ketika sidang kemuncak Majlis Eropah di Thessaloniki pada 2003 dan secara rasmi memohon keahlian EU pada 2016.
Status calon menjadi langkah pertama dalam proses penyertaan, sebelum rundingan mengenai penyertaan bermula secara berperingkat selepas syarat yang ditetapkan dipenuhi. – Bernama, 16 Disember, 2022.
Komen