AMERIKA Syarikat (AS) pada Khamis memberikan bantuan makanan AS$2.5 bilion lagi kepada Afrika, berjanji untuk membantu benua itu menghadapi kenaikan harga yang sebahagiannya dipersalahkan susulan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
Presiden Joe Biden mengumumkan komitmen baharu itu pada penutup sidang kemuncak tiga hari yang membawa hampir 50 pemimpin Afrika ke Washington.
Biden memberitahu pemimpin yang hadir bahawa AS bimbang mengenai peningkatan kebuluran yang dicetuskan “sebahagiannya disebabkan oleh perang tanpa provokasi Rusia terhadap Ukraine.”
“Hari ini, kebuluran sekali lagi menyerang Tanduk Afrika,” kata Biden.
“Jaminan makanan adalah asas penting untuk keamanan dan kemakmuran. Ringkasnya, jika ibu bapa tidak dapat memberi makan kepada anak mereka, tiada perkara lain lebih penting.”
Beliau berkata AS juga mahu bekerjasama dengan Afrika dalam membangunkan tanah pertanian.
“Afrika mempunyai potensi untuk memberi makan kepada rakyatnya tetapi juga membantu memberi makan kepada dunia,” kata Biden.
White House berkata AS$2.5 bilion itu akan menyediakan bantuan kecemasan serta bantuan jangka sederhana dan panjang untuk menstabilkan bekalan makanan Afrika.
AS berkata ia juga akan meneruskan kerjasama dengan Kesatuan Afrika untuk menghimpunkan sektor awam dan swasta serta institusi kewangan antarabangsa bagi menangani keperluan makanan.
AS menyediakan bantuan makanan sebanyak AS$11 bilion untuk benua itu tahun ini, kata White House.
Tanduk Afrika terjejas teruk susulan kemarau panjang dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata bantuan mampu mengurangkan sepenuhnya kebuluran di Somalia. – AFP, 16 Disember, 2022.
Komen