Fail pembunuhan Kennedy didedah pada umum


Pembunuhan Presiden Amerika Syarikat John F. Kennedy berlaku pada November 1963 mencetuskan pelbagai teori konspirasi.– Gambar EPA, 16 Disember, 2022.

SEBAHAGIAN daripada fail rahsia baharu berkaitan dengan pembunuhan Presiden AS John F. Kennedy pada November 1963 telah didedahkan kepada umum pada Khamis.

Namun Rumah Putih bagaimanapun menahan ribuan dokumen lain atas alasan ia mempunyai kaitan dengan keselamatan negara.

Suruhanjaya Warren yang menyiasat insiden penembakan presiden berusia 46 tahun itu mendapati ia dilakukan oleh bekas penembak tepat Marin, Lee Harvey Oswald, yang bertindak sendirian.

Kesimpulan itu tidak banyak membantu, bagaimanapun untuk memadamkan spekulasi bahawa plot yang lebih jahat adalah di sebalik pembunuhan Kennedy pada 22 November 1963 di Dallas, Texas, dan pendedahan teliti fail kerajaan telah menokok tambah kepada pelbagai teori konspirasi.

Arkib Negara berkata sejumlah 13,173 dokumen telah didedahkan pada Khamis dalam keluaran terbaru, dan 97 peratus daripada rekod Kennedy—yang berjumlah kira-kira lima juta muka surat—kini telah didedahkan kepada umum.

Presiden Joe Biden berkata dalam satu memorandum bahawa sebilangan dokumen akan terus ditahan atas permintaan “agensi”.

Permintaan sebelum ini untuk menahan dokumen berkenaan datang daripada Agensi Perisikan Pusat dan Biro Penyiasatan Persekutuan.

“Penangguhan sementara pendedahan awam maklumat sedemikian adalah perlu untuk melindungi daripada bahaya yang boleh dikenal pasti terhadap pertahanan tentera, operasi perisikan, penguatkuasaan undang-undang, atau hubungan luar negara,” kata Biden. – AFP, 16 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen