Aktivis pelarian mahu KDN kekal kad pelarian UNHCR


Kalidevi Mogan Kumarappa

Pelarian berdepan pelbagai masalah seperti terpaksa menanggung pelbagai kos serta terdedah kepada manipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.– Gambar AFP, 16 Disember, 2022.

KUMPULAN aktivis mahu Putrajaya mengekalkan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang mahu dihapuskan pentadbiran terdahulu.

Aktivis ini memberitahu The Malaysian Insight, mereka juga perlu dilibatkan bagi membentuk dasar untuk menguruskan pencari suaka dan pelarian.

Salah seorang aktivis, Adrian Pereira dari North South Initiative menggesa Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail tidak meneruskan rancangan membatalkan kad UNHCR.

Katanya, usaha dimulakan menteri terdahulu, Hamzah Zainudin itu antara lain menyebabkan pelarian menanggung kos tambahan selain mendedahkan mereka kepada manipulasi.

Beliau merujuk Sistem Pengesanan Maklumat Pelarian (TRIS) bagi menyimpan profil pemegang kad UNHCR serta kedudukan pelarian yang diperkenalkan bekas menteri itu.

Sistem itu mengeluarkan Kad Pengenalan Khas (MyRC) sebagai dokumen sah pelarian yang diterima menetap di Malaysia bagi menggantikan kad UNHCR.

Mengulas usaha itu, Pereira berkata beliau bimbang pihak ketiga mengambil kesempatan dalam proses pengeluaran kad pelarian baharu dan mempergunakan komuniti itu.

“Berdasarkan maklumat daripada pelarian, mereka perlu membayar RM500 untuk mendapatkan kad yang dikeluarkan kerajaan Malaysia.

“Tetapi, kad UNHCR pula dikeluarkan kepada kumpulan pelarian yang layak tanpa sebarang kos,” katanya ketika dihubungi.

Namun seluruh proses itu tidak diperlukan kerana kerajaan Malaysia tidak perlu menentukan status seseorang individu sama ada pelarian, warga asing atau pencari suaka, katanya.

“Selama ini, tugas UNHCR untuk menentukan siapa pelarian, siapa bukan sebelum mengeluarkan kad pelarian,” katanya.

Selain itu, risiko rasuah juga menyebabkan mereka menolak usaha Hamzah menguruskan pelarian itu melalui sistem TRIS.

“Dengan mengambil kira unsur rasuah dalam sejarah sistem kerajaan, kita harus mengelakkan proses pengeluaran kad pelarian baharu melalui sistem TRIS itu,” kata Adrian.

Oleh itu, Saifuddin sepatutnya berbincang dengan kumpulan sivil yang bekerja rapat dengan komuniti pendatang dan pelarian sebelum bertindak dalam pengurusan pelarian itu, katanya.

“Saya fikir apa yang lebih mustahak sekarang adalah reformasi dalam pendirian kerajaan berhubung isu pelarian.

“Kemudian kerajaan Malaysia sewajarnya menandatangani Konvensyen Pelarian dan menyelamatkan semua pelarian dan pencari suaka yang sengsara di depoh Jabatan Imigresen.

“Pelarian dan pencari suaka tidak patut ditempatkan dalam depoh, bawa mereka keluar dan beri bantuan yang sewajarnya dengan segera,” katanya.

Seorang lagi aktivis, Alex Ong dari MigrantCARE pula menyifatkan cadangan Hamzah menggantikan kad UNHCR dengan sistem TRIS sebagai membazir masa dan kos.

Walhal, Malaysia memerlukan kawalan lebih baik ke atas penghijrahan secara haram oleh warga asing dan juga kerjasama dengan UNHCR, katanya.

Kes penyalahgunaan seperti melibatkan banyak dokumen perjalanan warga asing lain juga akan berulang apabila banyak pihak menjadi perantara mengeluarkan kad baharu bawah TRIS, katanya.

Malah, kad pelarian bawah TRIS tidak diiktiraf negara lain, kata Ong yang mahu sistem baharu diperkenalkan Hamzah pada Julai itu diteliti semula.

“Ini kerana bukan sahaja pelarian Rohingya dan pencari suaka dari negara lain memohon status pelarian tetapi ramai pekerja asing warga Myanmar dan Bangladesh turut memohon status pelarian.

“Kita perlu melihat semua sisi, kad pelarian UNHCR diiktiraf di kebanyakan negara luar, apa status kad pelarian TRIS itu? Banyak perkara perlu diteliti sebelum dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Aktivis pelarian James Bawi turut meminta kerajaan mengekalkan kad pelarian UNHCR supaya isu itu ditangani organisasi atau komuniti yang mematuhi piawaian dan dasar antarabangsa.

“Saya berpendapat kerajaan Malaysia harus menghentikan rancangannya untuk mengeluarkan kad pelarian kerana isu pelarian satu isu antarabangsa,” katanya.

Bawi juga berpendapat kad pelarian yang diperkenalkan Hamzah tidak diwujudkan mengikut undang-undang.

“Saya rasa ia sepatutnya diputuskan di Parlimen dan diiktiraf melalui perlembagaan Malaysia, bukannya diputuskan melalui satu kementerian.”

Oleh itu, kerajaan sepatutnya mengekalkan kuasa itu kepada UNHCR dan menjalin kerjasama yang lebih baik untuk memberi fokus kepada kehidupan pelarian, katanya.

Hamzah sewaktu mempertahankan sistem TRIS pada Julai berkata, kad UNHCR tidak perlu diiktiraf kerana tidak menganggotai konvensyen dan protokol status Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Dengan pelaksanaan kad itu, hanya pelarian yang dikenal pasti kerajaan sahaja boleh tinggal dalam negara, katanya seperti dilaporkan. – 16 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen