KELUARGA mendiang Teoh Beng Hock menggesa kerajaan Anwar Ibrahim memenuhi janji Pakatan Harapan untuk membuka semula siasatan kes kematian setiausaha politik itu.
Kakak mendiang Teoh Lee Lan berkata pihak keluarga mahu kerajaan baharu membuka semula siasatan kes dan membongkarkan misteri kematian adiknya.
“Ini harapan dan tuntutan kami sejak 16 Julai 2009 dan ia janji yang belum ditunaikan Pakatan Harapan sejak 2018.
“Keadilan sudah lama tertangguh hampir 14 tahun dan dinafikan sehingga hari ini, tiada siapa dipertanggungjawabkan dalam kematian mendiang adik saya,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Pada 5 September 2014, Mahkamah Rayuan memutuskan Teoh mati akibat tindakan yang menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali, termasuk pegawai agensi antirasuah.
“Kami berharap PM dan kerajaan baharu tidak menganggap kematian adik saya sebagai sia-sia.
“Tolong imbas kembali perjalanan mencari keadilan hampir 14 tahun, dan tunaikan janji untuk menegakkan keadilan demi mendiang,” katanya.
Peguam bagi pihak keluarga Sangeet Kaur Deo dari Tetuan Karpal Singh juga menggesa kerajaan baharu selepas pilihan raya umum lalu mengambil tindakan segera.
“Tolong ambil tindakan segera untuk membuka semula kes dan melengkapkan siasatan punca kematian mendiang itu,” katanya ringkas.
Ibu bapa mendiang pada Mei 2022 memfailkan satu tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memohon satu perintah mahkamah supaya pihak polis melengkapkan siasatan kematian Teoh.
Permohonan Teoh Leong Hwee, 74, dan isterinya, Teng Shuw Hoi, 69, itu menamakan Ketua Polis Negara, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM), PDRM dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Mereka memohon perisytiharan bahawa polis gagal untuk melengkapkan siasatan kematian Teoh dalam jangka masa munasabah seperti yang diperuntukkan mengikut Akta Polis 1967.
Mereka juga menuntut perisytiharan pihak polis cuai serta cuba menafikan hak mereka untuk mendapat kesaksamaan mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Mereka memohon mahkamah supaya memerintahkan pihak polis supaya melengkapkan siasatan kematian Teoh dalam tempoh sebulan daripada tarikh penghakiman.
Ibu bapa Teoh memaklumkan kepada mahkamah kertas siasatan kematian itu berkali-kali dikembali oleh Jabatan Peguam Negara untuk siasatan lanjut tetapi sehingga sekarang tidak disiapkan.
Teoh ditemui mati di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan itu.
Mendiang ketika itu setiausaha politik Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah yang juga pengerusi jawatankuasa tetap kerajaan tempatan, pemutihan kilang haram dan pembangunan kampung baru Selangor.
Pada 5 Januari 2011, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Teoh pada 2009 bukan disebabkan membunuh diri atau dibunuh serta mendapati tiada pihak ketiga terbabit dalam kematiannya.
Manakala pada 21 Julai 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kematian Teoh memutuskan kematiannya itu akibat membunuh diri.
Pada 5 September 2014, Mahkamah Rayuan menukar keputusan terbuka dalam kes kematian Teoh dan memutuskan kematiannya itu akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali. – 16 Disember, 2022.
Komen