Lagi dakwaan rogol terhadap sarjana Islam, Tariq Ramadan


Wanita beragama Islam berbangsa Perancis dan hanya mahu dikenali sebagai “Marie” mendakwa dirogol beberapa kali di Perancis, Brussels dan London antara 2013 dan 2014. – Gambar AFP, 8 Mac, 2018.

SEORANG lagi wanita mendakwa dirogol sarjana Islam terkenal Tariq Ramadan, lapor AFP memetik sumber kehakiman Perancis, pada Rabu.

Dakwaan itu dibuat sebulan selepas Tariq dituduh dengan dakwaan sama oleh dua wanita yang seterusnya membawa kepada penahanan beliau.

Wanita beragama Islam berbangsa Perancis dan hanya mahu dikenali sebagai “Marie” mendakwa dirogol beberapa kali di Perancis, Brussels dan London antara 2013 dan 2014.

Beliau mendakwa Tariq, 55, melakukan keganasan dan kelakuan tidak senonoh dalam banyak pertemuan, yang didakwa berlaku di hotel dan di luar persidangan.

“Saya terpaksa akur, bersedia sehari suntuk untuk dia (Tariq), buat segala apa yang disuruh, ambil gambar dalam keadaan menyerah, melutut memohon pengampunan, memanggil dia ‘tuan’,” katanya kepada radio Europe 1.

“Pada mulanya, ada bibit-bibit kasih, kalau tidak saya tidak bersetuju untuk bertemu dengannya,” tambahnya.

“Sukar untuk saya sebutkan perkataan ini: rogol. Tapi hari ini saya mampu lakukannya.”

Tariq turut berdepan tuduhan rogol secara rasmi selepas dua wanita mendakwa profesor dari Universiti Oxford itu menyerang mereka di sebuah bilik hotel pada 2009 dan 2012.

Polis menahan Tariq dan beliau berdepan dua pertuduhan, iaitu merogol serta merogol individu yang lemah.  

Selepas dua hari disoal siasat, Tariq dibawa ke hadapan tiga majistret dan berdepan siasatan lebih menyeluruh, lapor AFP memetik sumber kehakiman Perancis. – AFP, 8 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen