Kenyataan Bung Mokhtar kaitkan obesiti dengan ekonomi cetek, kata Wan Saiful


Kenyataan Ahli Parlimen Umno Bung Mokhtar Radin tentang obesiti di Malaysia menunjukkan kejahilan dan sikap kurang bijak pemimpin parti tersebut, kata Wan Saiful Wan Jan – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mac, 2018.

KENYATAAN Ahli Parlimen Umno Bung Mokhtar Radin tentang obesiti di Malaysia menunjukkan kejahilan dan sikap kurang bijak pemimpin parti tersebut, kata Wan Saiful Wan Jan.

Timbalan ketua biro dasar dan strategi Bersatu itu menyifatkan kenyataan Bung di Parlimen yang menjadikan kadar obesiti negara yang tinggi sebagai petunjuk ekonomi yang kukuh sebagai “tidak masuk akal dan tipikal” Umno yang jauh dari realiti kesusahan rakyat

“Pertama sekali, obesiti merupakan suatu wabak di Malaysia. Kita adalah antara negara tergemuk di Asia dan masalah kesihatan semakin meningkat serta menjadi beban kepada perbelanjaan negara,” kata Wan Saiful dalam posting Facebook.

Bung Mokhtar yang merupakan ahli Parlimen Kinabatangan, dilaporkan berkata rakyat Malaysia dianugerahkan dengan rezeki “makan yang banyak” sehingga ada yang mati kerana terlebih makan.

Beliau berkata demikian semasa perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong dan mengulas hujah Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Permatang Pauh) yang rakyat Malaysia kini sedang terseksa.

Wan Saiful berkata sebagai seorang ahli Parlimen, Bung Mokhtar, perlu “bertanya kepada diri sendiri mengapa perkara ini berlaku” dan meluangkan masa dalam memahami kesusahan rakyat dan “bukan hanya menembak sahaja mulutnya dengan cara memalukan Parlimen”.

“Kita perlukan wakil rakyat yang lebih baik di Parlimen…ahli Parlimen perlu tunjukkan sedikit kelas dan kebolehan berfikir secara matang,” kata Wan Saiful yang baru sahaja meninggalkan institut pemikir Democracy and Economic Affairs (Ideas) untuk menceburkan diri dalam arena politik.

“The World Health Organisation menunjukkan bahawa rakyat Malaysia tidak mempunyai akses kepada makanan yang sihat dan bekhasiat. Ini memaksa mereka untuk mengambil makanan segera yang tidak sihat dan tidak berzat,” tambah Wan Saiful.

“Tidak seperti pemimpin Umno yang mampu membeli quinoa mahal, orang biasa seperti kita perlu mengambil alternatif murah dan tidak sihat, kerana itulah sahaja yang kita mampu”.

“Orang biasa di kawasan bandar seperti Kampung Baru dan Keramat, serta kawasan bandar dan luar bandar yang lain perlu berkerja keras untuk memenuhi keperluan keluarga mereka. Mereka tidak mempunyai wang untuk menjaga diri mereka sendiri.

“Isu ini telah didokumentasikan dalam negara yang lebih maju seperti Amerika Syarikat di mana wujud risiko obesiti dan kekurangan nutrisi lebih tinggi di kalangan kumpulan berpendapatan rendah. Jadi tidaklah mengejutkan masalah yang sama terjadi di negara seperti Malaysia,” ujarnya. – 8 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen