Suspek amuk sekolah di Florida didakwa 17 tuduhan membunuh


Pada 14 Februari, Cruz memasuki Sekolah Tinggi Marjory Stoneman Douglas di Parkland, di utara Miami, dan melepaskan tembakan dengan senapang AR-15 separuh automatik, membunuh 14 pelajar dan tiga orang kakitangan. – Gambar fail EPA, 8 Mac, 2018.

SUSPEK kejadian tembakan di sebuah sekolah di Florida, Nikolas Cruz didakwa pada Rabu berhubung 17 tuduhan membunuh dan 17 lagi atas cubaan membunuh, kata pejabat peguam negara itu.

Pada 14 Februari, Cruz memasuki Sekolah Tinggi Marjory Stoneman Douglas di Parkland, di utara Miami, dan melepaskan tembakan dengan senapang AR-15 separuh automatik, membunuh 14 pelajar dan tiga orang kakitangan.

Ketua juri Broward County mendakwa Cruz - yang mengakui pembunuhan itu - dengan 17 pertuduhan pembunuhan terancang darjah pertama dan 17 pertuduhan cubaan membunuh darjah pertama.

Dakwaan cubaan membunuh itu berkaitan dengan mereka yang cedera dalam serangan, kata peguam negara, Michael Satz dalam satu kenyataan.

Selepas tembakan, polis mengatakan Cruz yang berusia 19 tahun, bekas pelajar Stoneman Douglas, berhenti di Walmart dan kemudian ke McDonald’s sebelum pegawai menahannya 40 minit selepas mengamuk.

Selepas insiden itu, pelajar Parkland melancarkan gerakan yang digelar “Never Again” kepada ahli politik sebagai tekanan untuk menangani isu keganasan senjata api dan tembakan beramai-ramai di Amerika Syarikat.

Di Florida sahaja, tiga insiden tembakan beramai-ramai dalam masa kurang dua tahun - 49 terbunuh di kelab malam Orlando pada 2016, lima di lapangan terbang antarabangsa Fort Lauderdale pada 2017, dan kini seramai 17 korban di Parkland.

Pada Rabu Dewan Perwakilan Florida membahaskan langkah yang mencadangkan beberapa larangan mengenai akses kepada senjata api dan membekalkan guru dengan senjata untuk mempertahankan pelajar sekiranya terjadi serangan. – AFP, 8 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen