BNK pembangunan Asia turunkan unjuran pertumbuhan rantau Asia Pasifik


China ekonomi terbesar di rantau ini kini diunjur berkembang hanya 3% tahun ini berbanding unjuran sebelumnya sebanyak 3.3%. – Gambar AFP, 15 Disember, 2022.

BANK Pembangunan Asia (ADB) semalam menurunkan unjuran pertumbuhan ekonominya bagi rantau Asia-Pasifik tahun ini dan 2023 di tengah-tengah kedudukan ekonomi global yang semakin teruk, lapor dpa.

Menurut bank yang berpangkalan di Manila itu ekonomi rantau itu kini dijangka berkembang 4.2% pada 2022 dan 4.6% pada 2023, masing-masing susut daripada 4.3% dan 4.9%.

Dasar monetari yang diperketat oleh bank pusat di seluruh dunia, pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan penutupan berulang akibat Covid-19 di China memperlahan pemulihannya daripada wabak itu, menurut ADB dalam kemas kini laporan Unjuran Tahunan Pembangunan Asia.

“Asia dan Pasifik akan terus pulih namun kedudukan global yang semakin teruk menyumbang kepada kemerosotan momentum rantau itu menjelang tahun baharu.

“Kerajaan perlu bekerjasama lebih erat untuk mengatasi cabaran berlarutan Covid-19, menangani kesan harga makanan dan tenaga yang tinggi — terutama dalam kalangan golongan miskin dan mudah terjejas— serta memastikan pemulihan ekonomi yang mampan dan inklusif,” kata ketua ekonomi ADB Albert Park.

Bank itu menurunkan unjuran inflasi di Asia dan Pasifik kepada 4.4% tahun ini daripada 4.5% tetapi menaikkan unjuran untuk tahun depan kepada 4.2% daripada 4% disebabkan tekanan inflasi yang berlarutan daripada tenaga dan makanan.

China ekonomi terbesar di rantau ini kini diunjur berkembang hanya 3% tahun ini berbanding unjuran sebelumnya sebanyak 3.3%. Pada 2023 unjuran pertumbuhan ekonomi China diturunkan kepada 4.3% daripada 4.5%.

Unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar untuk India, ekonomi kedua terbesar di rantau ini dikekalkan pada 7% bagi tahun fiskal ini dan 7.2% pada tahun berikutnya. – Bernama, 15 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen