Kamera badan perkasa integriti, profesionalisme polis, kata KPN


Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata PDRM akan memanfaatkan sebaik mungkin penggunaan kamera badan dalam usaha memastikan kualiti perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Disember, 2022.

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) yakin penggunaan kamera badan akan memperkasakan tahap integriti, profesionalisme dan ketelusan anggota ketika berurusan, selain melindungi kepentingan semua pihak.

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata PDRM akan memanfaatkan sebaik mungkin penggunaan kamera badan itu dalam usaha memastikan kualiti perkhidmatan PDRM yang terbaik kepada masyarakat.

“PDRM menyambut baik langkah kerajaan menyegerakan perolehan kamera badan untuk kegunaan anggota Unit Rondaan Bermotor (URB) dan kenderaan pelbagai guna (MPV) bagi tujuan penguatkuasaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi perolehan kamera badan untuk kegunaan anggota PDRM ketika menjalankan tugas. – Bernama, 14 Disember, 2022.          


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen