Wanita Iran dihukum penjara 2 tahun kerana buka tudung


Semakin ramai wanita Iran di Tehran dan bandar besar yang lain dilihat hanya memakai tudung longgar yang menampakkan rambut mereka. – Gambar fail EPA, 8 Mac, 2018.

SEORANG wanita yang membuka tudungnya secara terbuka sebagai tanda protes terhadap undang-undang wajib bertudung di Iran dijatuhkan hukuman penjara 24 bulan, tiga bulan tanpa parol, kata badan kehakiman negara itu pada Rabu.

Ketua pendakwa raya Tehran, Abbas Jafari Dolatabadi, yang mengumumkan hukuman itu, tidak mendedahkan identiti wanita itu tetapi berkata wanita berkenaan berhasrat untuk merayu keputusan itu, lapor agensi berita badan kehakiman Mizan Online.

Lebih daripada 30 wanita Iran ditangkap sejak akhir Disember kerana membuka tudung mereka sebagai bantahan terhadap undang-undang.

Kebanyakan dibebaskan, tetapi ramai yang didakwa.

Undang-undang Iran sejak Revolusi Islam 1979 menetapkan semua wanita, Iran atau warga asing, Islam atau bukan Islam, mestilah sepenuhnya bertudung di khalayak ramai pada setiap masa.

Tetapi ia amalan itu semakin kurang mendapat sambutan sejak dua dekad yang lalu, dan semakin ramai wanita Iran di Tehran dan bandar besar yang lain dilihat hanya memakai tudung longgar yang menampakkan rambut mereka.

Di sesetengah kawasan di ibu negara, wanita sering dilihat memandu kereta dengan tudung diletakkan di bahu mereka.

Dolatabadi berkata dia tidak akan menerima tingkah laku seperti itu, dan mengarahkan penahanan kenderaan yang dipandu oleh kaum wanita yang memberontak.

Pendakwa raya berkata terdapat “toleransi” bagi wanita yang memakai tudung yang longgar, “tetapi kita mesti bertindak dengan kuasa terhadap orang yang sengaja mempersoalkan peraturan bertudung dalamIslam,” kata Mizan Online. – AFP, 8 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen