BANK Pembangunan Asia yang berpangkalan di Manila meluluskan pakej pembiayaan AS$62.9 juta untuk membantu Kemboja meningkatkan jaminan makanan dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi inklusif, menurut kenyataan akhbarnya pada Selasa.
Projek Penambahbaikan Kesihatan Ternakan dan Rantaian Nilai Rentas Sempadan Wilayah Kecil Mekong Raya (GMS) akan dibiayai menerusi pinjaman AS$50 juta daripada sumber konsesi ADB, geran Dana Pembangunan Asia AS$12 juta, dan geran AS$0.9 juta daripada Dana Perubahan Iklim, Xinhua memetik kenyataan berita itu.
“Subsektor ternakan yang penting untuk kemampanan kehidupan di luar bandar serta terjaminan makanan di Kemboja, menawarkan peluang besar kepada petani kecil, termasuk wanita dan perniagaan tani kecil dan sederhana,” kata pakar perubahan iklim utama ADB untuk Asia Tenggara Srinivasan Ancha.
Projek itu akan memberi manfaat langsung kepada sekurang-kurangnya 40,000 isi rumah di ibu kota Phnom Penh dan wilayah Kampong Cham, Oddar Meanchey, Prey Veng, Siem Reap dan Takeo menerusi peningkatan pelaburan dalam infrastruktur kritikal, kapasiti institusi dan teknikal serta dasar-dasar pemboleh.
Ia juga akan membangunkan infrastruktur di wilayah Kandal, Kampong Thom, dan Pursat untuk memenuhi keperluan vaksin veterinar dan permanian beradas di seluruh negara, menurut siaran berita itu.
“Projek itu akan meningkatkan produktiviti dan daya tahan subsektor ternakan dengan mengurangkan risiko penyakit haiwan rentas sempadan, zoonosis dan rintangan antimikrobial,” katanya. – Bernama, 13 Disember, 2022.
Komen