PEMIMPIN Eropah dan kumpulan memperjuangkan alam sekitar marah dan kecewa selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump hari ini mengumumkan negaranya keluar daripada Perjanjian Paris 2015.
Mereka berikrar untuk terus mempertahankan perjanjian dan tidak berganjak untuk terus memerangi perubahan iklim.
Dalam satu langkah luar biasa, tiga ekonomi terbesar Eropah – Jerman, Perancis dan Itali – mengeluarkan kenyataan bersama di mana mereka mengkritik keputusan Trump dan berkata perjanjian itu “tidak boleh dirunding semula”.
“Kami melihat keputusan AS ‘dengan rasa kesal,” kata mereka, menggambarkan perjanjian itu sebagai “alat penting kepada planet, masyarakat dan negara kita”.
“Kami amat yakin perjanjian itu tidak boleh dirunding semula,” kata mereka, merujuk kepada sebahagian daripada pengumuman Trump, yang berkata Washington terbuka kepada rundingan perjanjian baru.
Jean-Claude Juncker, ketua eksekutif Suruhanjaya Kesatuan Eropah, membidas keputusan Trump sebagai “benar-benar salah”.
Pesuruhjaya badan bagi tindakan iklim dan tenaga Miguel Arias Canete juga berjanji terus “memimpin global” mengenai perubahan iklim.
“Kesatuan Eropah sangat kesal dengan keputusan unilateral pentadbiran Trump,” kata beliau dalam satu kenyataan.
“Perjanjian Paris akan bertahan. Dunia boleh terus bergantung kepada Eropah untuk kepimpinan global dalam memerangi perubahan iklim.
Di Berlin, Canselor Angela Merkel menyatakan “penyesalan” dengan keputusan itu, dan menggesa kesinambungan bagi “dasar iklim yang mengekalkan dunia kita”.
Tujuh menteri Demokratik Sosial dalam kerajaan campuran beliau berkata AS “merosakkan diri sendiri, penduduk Eropah dan orang di seluruh dunia”. – 2 Jun, 2017.
Komen