Itali gempar kejadian tembakan besar-besaran di Rom


Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni mengesahkan seorang daripada mangsa ialah Nicoletta Golisano, rakannya. – Gambar AFP, 13 Disember, 2022.

SEKURANG-KURANGNYA tiga terbunuh manakala empat lagi cedera apabila seorang lelaki berusia 57 tahun menyerbu masuk ke sebuah kedai kopi di utara Rom dan melepaskan tembakan pada Ahad.

Lelaki itu dipercayai menyasarkan ahli mesyuarat lembaga kondominium dan suspek berjaya ditahan, lapor Xinhua.

Menurut laporan media, lelaki itu dilaporkan mempunyai sejarah pertikaian dengan beberapa ahli lembaga pengarah.

Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni mengesahkan seorang daripada mangsa ialah Nicoletta Golisano, rakannya.

 “Saya harap keadilan akan dilaksanakan,” menurut hantaran Meloni di media sosial.

Laporan media mendedahkan penembak yang tinggal di tingkat bawah tanah menghantar beberapa aduan terperinci mengenai lembaga kondominium itu.

Menurut catatan Meloni di media sosial, suspek dinafikan permit untuk membeli pistol sebaliknya, dia menggunakan pistol yang disewa dari padang tembak.

Premis berkenaan telah ditutup dan siasatan sedang dijalankan.

Datuk Bandar Rom Roberto Gualtieri mengadakan mesyuarat tergempar pada Isnin selepas menyifatkan kejadian itu sebagai “episod keganasan yang teruk melanda bandar itu”.

Akses kepada senjata api dihadkan di Itali dan kejadian tembakan besar-besaran jarang berlaku. – Bernama, 13 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen