ELON Musk melancarkan semula perkhidmatan langganan Twitter semalam selepas cubaan pertamanya yang menyaksikan lonjakan akaun palsu yang menakutkan pengiklan dan mencetuskan keraguan tentang masa depan Twitter.
Pelancaran pertama bulan lalu dilakukan hanya 10 hari selepas Musk mengambil alih Twitter dengan membabitkan nilai AS$44 bilion di mana menerusi pengambilahan itu, lebih separuh kakitangan syarikat diberhentikan, termasuk pasukan pekerja yang mengendalikan isi kandungan Twitter.
Pelancaran semula Twitter Blue itu dilakukan selaras dengan usaha pemilik Tesla dan SpaceX itu yang memberi sokongan kepada perjuangan berhaluan kanan, termasuk pembangkang dibenarkan menggunakan kata ganti nama jantina yang neutral serta respons kerajaan Amerika Syarikat (AS) terhadap Covid-19.
Perkhidmatan langganan itu akan mengenakan caj AS$8 sebulan untuk pengguna Twitter di laman web dan AS$11 jika pendaftaran dibuat menggunakan perkakasan Apple. Harga tambahan itu susulan Musk bengang Apple mengenakan 30% yuran perkhidmatan di stor aplikasi.
Pelancaran awal Twitter Blue mencetuskan kemarahan apabila banyak akaun palsu muncul menyamar sebagai selebriti atau syarikat dengan pasukan Musk terpaksa menutup semua akaun palsu itu.
Kali ini, syarikat itu mengenakan langkah lebih ketat dengan prosedur pengesahan diperlukan oleh Twitter sebelum akaun boleh dibuat dan menerima tanda biru.
Tanda itu akan berubah menjadi warna emas untuk perniagaan dan dalam tempoh seminggu, berubah kepada kelabu bagi organisasi kerajaan, katanya.
Tanda biru pada akaun, bermakna ia sudah disahkan oleh Twitter, sebelum ini adalah perkhidmatan percuma tetapi khas untuk organisasi dan tokoh terkenal dalam usaha mengelak penyamaran dan salah maklumat.
Menurut laman web itu, langganan baharu Twitter Blue pada masa ini hanya ada di laman web di Amerika Syarikat, Kanada, Australia, New Zealand dan UK.
Tetapi hingga 6 petang waktu tempatan, langganan masih belum boleh dilakukan. – AFP, 13 Disember, 2022.
Komen