Eksport kereta mesra alam Korea Selatan catat paras tertinggi pada November 


Ia berikutan permintaan kukuh bagi kenderaan mesra alam dan bekalan semikonduktor automotif yang stabil.– Gambar Youtube, 12 Disember, 2022.

EKSPORT kereta Korea Selatan mencatat paras tertinggi pada November berikutan permintaan kukuh bagi kenderaan mesra alam dan bekalan semikonduktor automotif yang stabil.

Nilai penghantaran keluar kereta mencecah AS$5.4 bilion bulan lepas, meningkat 31% berbanding tahun lepas, menurut data Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga.

Sejumlah 219,489 kenderaan berjaya dijual di luar negara pada bulan lepas, meningkat 25% berbanding tahun sebelumnya, lapor Agensi Berita Yonhap.

Nilai eksport dan jumlah kenderaan dijual mencatat peningkatan selama lima bulan berturut-turut.

Korea Selatan telah menjual kenderaan berjumlah AS$48.7 bilion di luar negara dalam tempoh 11 bulan pertama tahun ini, melepasi angka tahunan bagi 2021, menurut kementerian itu.

Jualan itu disebabkan oleh peningkatan permintaan bagi kenderaan mesra alam.

Bilangan kereta mesra alam yang dijual bulan lepas meningkat 14.8% iaitu 50,042 unit.

Daripada jumlah itu, jualan kenderaan elektrik melonjak 27.4% (22,341 unit).

Kenderaan mesra alam menyumbang 22.8% daripada jumlah eksport kereta negara pada bulan lepas, menurut data.

Eksport ke Amerika Utara melonjak 51% iaitu AS$2.63 bilion, dan eksport ke Kesatuan Eropah meningkat 6.3% pada kadar AS$788 juta.

Sementara itu, jualan di negara Asia meningkat 73.2% (AS$479 juta), dan di Asia Barat meningkat 14.1% (AS$481 juta), menurut kementerian itu.

Eksport alat ganti kereta turut mencatatkan peningkatan 0.8% tahun ke tahun iaitu AS$1.86 bilion bulan lepas. – Bernama, 12 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen