Australia rangka undang-undang tangani perubahan iklim


Bendahari Jim Chalmers berkata ia akan memberi penjelasan dan kepastian terhadap pelabur dan perniagaan yang ingin menguruskan risiko perubahan iklim.– Gambar EPA, 12 Disember, 2022.

KERAJAAN Australia bercadang mengumumkan undang-undang baharu yang akan mewajibkan syarikat mega mendedahkan usaha ke arah mengurangkan pelepasan karbon.

Bendahari Jim Chalmers dalam ucapannya pada Isnin berkata sistem pendedahan terhadap risiko iklim berkenaan akan memberi penjelasan dan kepastian terhadap pelabur dan perniagaan yang ingin menguruskan risiko perubahan iklim dan melabur dalam bidang baharu itu.

Di bawah rancangan itu, perniagaan mega termasuk bank diminta mendedahkan langkah-langkah yang diambil untuk mengurangkan pelepasan karbon mereka dan menangani perubahan iklim, lapor Xinhua.

Chalmers memberitahu Institut Kewangan Lestari Australia bahawa pendedahan seperti itu dipercayai menjadikan Australia kekal berdaya saing dalam pasaran modal global, dan lebih ramai pelabur melihat “keharmonian antara keuntungan dan kelestarian alam sekitar.”

Beliau berkata langkah itu akan menjadikan Australia peneraju kewangan mampan di dunia.

Syarikat-syarikat dan orang ramai boleh membuat cadangan kepada Kementerian Kewangan mengenai undang-undang yang dicadangkan itu sehingga 17 Feb sebelum ia dibentangkan di Parlimen. – Bernama, 12 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen