SETIAUSAHA Perdagangan United Kingdom (UK) Kemi Badenoch berada di India untuk memulakan rundingan pusingan keenam Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara UK dan India, menurut Suruhanjaya Tinggi British di New Delhi pada Isnin.
“Setiausaha Perdagangan Kemi Badenoch tiba di New Delhi hari ini… untuk rundingan pusingan keenam FTA antara UK dan India.
“Badenoch akan bertemu Menteri Perdagangan dan Industri India Piyush Goyal bagi mengadakan perbincangan mengenai perjanjian perdagangan dua hala berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Beliau juga akan bertemu wakil perniagaan terkemuka India untuk membincangkan projek pelaburan bersama dan peranan mereka dalam hubungan perdagangan semasa antara India dan UK, lapor Sputnik.
Menurut Suruhanjaya Tinggi British, Badenoch akan mengadakan pertemuan dengan perunding kanan kedua-dua negara dan secara rasmi membuka rundingan pusingan baharu yang dijangka berlangsung sepanjang minggu ini.
Rundingan itu adalah yang pertama sejak Julai selepas dilancarkan pada Januari.
Perjanjian berkenaan bertujuan mengurangkan tarif, menyediakan lebih banyak peluang untuk syarikat UK dan India dalam pasaran dan meningkatkan perdagangan dua hala kepada sehingga AS$100 bilion menjelang 2030.– Bernama, 12 Disember, 2022.
Komen