China ketuai negara WTO bantah cadangan AS kenakan tarif import


Donald Trump mahu mengenakan tarif import keluli dan aluminium atas alasan keselamatan negara, mencetuskan kebimbangan perang perdagangan antara kuasa besar ekonomi dunia akan berlaku. – Gambar AFP, 7 Mac, 2018.

CHINA mengetuai 18 negara Organisasi Perdagangan Dunia (WTO) hari ini untuk mendesak Presiden AS Donald Trump membatalkan rancangan mengenakan tarif import keluli dan aluminium.

Desakan dari pelbagai negara termasuklah Kesatuan Eropah, Jepun, Kanada dan Rusia itu berlaku pada mesyuarat Majlis Am WTO, menurut seorang pegawai yang mengetahui perkembangan mesyuarat itu.

Wakil China yang berucap dalam mesyuarat itu mengatakan hasrat Trump untuk mengenakan tarif atas alasan keselamatan boleh mewujudkan ancaman berterusan kepada sistem perdagangan global dikawal oleh 164 ahli WTO.

Kanada pula meluahkan kebimbangan yang “Amerika Syarikat mungkin membuka Kotak Pandora yang tidak dapat ditutup,” menurut sumber.

Kebimbangan wujudnya perang perdagangan berlaku sejak Trump mengumumkan pengenalan tarif- 25% untuk keluli dan 10% untuk aluminium- minggu lepas.

Kuasa besar ekonomi dunia berikrar akan mempertahankan kepentingan mereka termasuklah mengambil tindakan perundangan di WTO.

Tetapi kesan pengenalan tarif itu mewujudkan cabaran unik kepada WTO yang berusaha membina padang persaingan perdagangan dunia yang saksama.

Badan Penyelesaian Pertikaian WTO tidak pernah menghakimi kes timbang tara yang berlaku kerana faktor keselamatan- dikenali sebagai Perkara 21- yang termaktub selepas Perang Dunia Ke-2 di Perjanjian Am Tarif dan Perdagangan (GATT).

GATT wujud sebelum WTO yang hanya wujud pada 1995.

Kebimbangan yang wujud dalam kalangan pegawai WTO adalah jika negara ahli terutama sekali kuasa besar ekonomi dunia menggunakan alasan keselamatan negara untuk melindungi ekonomi mereka, ia akan mencetuskan situasi negara dunia tidak lagi menghiraukan peraturan perdagangan sedia ada.

Penasihat ekonomi utama Trump, Gary Cohn meletak jawatan kerana membantah cadangan pengenalan tarif kontroversi itu.

Setiausaha Perdagangan AS Wilbur Ross berkata Washington tidak berhasrat memulakan perang perdagangan dan keputusan mengenakan tarif import keluli dan aluminium itu sudah dibincangkan dengan mendalam. – AFP, 7 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen