Tiada mangsa terselamat dalam letupan di Jersey


Sekurang-kurangnya lima disahkan terbunuh setakat ini dalam letupan berlaku awal pagi semalam di bandar pelabuhan pulau Channel Saint Helier di Jersey. – Gambar Facebook, 12 Disember, 2022.

PASUKAN penyelamat berkata kemungkinan tiada mangsa terselamat daripada insiden letupan yang memusnahkan blok pangsapuri tiga tingkat di Jersey.

Sekurang-kurangnya lima disahkan terbunuh setakat ini dalam letupan berlaku awal pagi semalam di bandar pelabuhan pulau Channel Saint Helier. Tragedy itu dipercayai berlaku akibat kebocoran gas.

“Setakat ini lima kematian disahkan dan kami menjangkakan menemui lebih banyak mayat,” kata Ketua Polis Jersey Robin Smith pada sidang akhbar.

Katanya, nasib 12 lagi penduduk masih tidak diketahui.

Beliau berkata fasa seterusnya adalah fokus kepada kepada usaha mencari sisa anggota mangsa yang terbunuh dengan kaedah lebih teliti dan dijangka mengambil masa beberapa minggu lagi.

Sementara itu, Ketua Pasukan Bomba Paul Brown mengesahkan anggotanya dikerahkan untuk menyiasat bau gas pada petang Jumaat, iaitu kira-kira tujuh jam sebelum letupan.

Pembekal gas Jersey Island Energy berkata pihaknya akan bekerjasama dengan perkhidmatan bomba untuk mengenal pasti punca sebenarnya.

Ketua Menteri Jersey Kristina Moore berkata insiden letupan itu amat mengejutkannya.

“Letupan itu kedengaran di seluruh pulau dan ia bunyi yang luar biasa,” katanya kepada BBC. – AFP, 12 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen