SEORANG remaja terbunuh ketika penunjuk perasaan bertembung dengan polis dalam protes menentang kerajaan baharu Peru, semalam.
Penunjuk perasaan mendesak mogok, pilihan raya baharu dan pembebasan bekas presiden yang kini dalam tahanan, Pedro Castillo.
Protes berterusan di negara Amerika Selatan itu sejak Rabu selepas Castillo digulingkan apabila cuba membubarkan Kongres.
Dina Boluarte, bekas pendakwa raya yang berkhidmat sebagai naib presiden Castillo, dengan pantas mengangkat sumpah dan menggantikannya.
Pada Sabtu, beliau memperkenalkan Kabinet baharu, iaitu sekumpulan individu bebas dan teknokratif, termasuk lapan wanita.
Beliau melantik bekas pendakwa raya Pedro Angulo sebagai perdana menteri.
Selepas pendakwaannya, Castillo ditahan dan semalam penunjuk perasaan di beberapa bandar di seluruh negara itu termasuk Cajamarca, Arequipa, Huancayo, Cusco dan Puno mendesak pembebasannya.
Pertempuran tercetus antara penunjuk perasaan dan polis di Andahuaylas, menyebabkan seorang maut dan lima cedera, kata polis.
Pejabat hak asasi manusia berkata mangsa yang maut seorang remaja dan baru saja menyertai demonstrasi itu.
Seramai 16 orang awam dan empat pegawai polis cedera di Andahuaylas. – AFP, 12 Disember, 2022.
Komen