SATU daripada gunung berapi aktif di Amerika Tengah meletus, memuntahkan lava dan debu hingga menyebabkan pihak berkuasa Guatemala terpaksa menutup lapangan terbang terbesar negara itu semalam.
Gunung berapi Fuego meletus pada malam Sabtu dengan runtuhan batu mencair dan debu hitam setinggi 2km terbentuk di udara. Angin membawa debu hingga ke Guatemala City, kira-kira sejauh 35km.
Lapangan terbang antarabangsa La Aurora ditutup sementara, kata Penerbangan Awam dalam satu kenyataan, berpunca daripada debu dan abu berhampiran kawasan landasan.
Dua penerbangan terpaksa diarah ke lapangan terbang lain, kata sumber. Lapangan terbang itu dibuka semula kira-kira tengah hari selepas haluan angin beralih.
Jalan raya menghubungkan tengah dan selatan Guatemala ditutup sebagai langkah berjaga-jaga, kata polis lebuh raya.
Gunung berapi itu terletak 16km dari Antigua, yang dulunya ibu kota negara itu dan menjadi kawasan tumpuan pelancong.
Fuego secara purata akan meletus setiap empat atau lima tahun. Pada 2018, letusannya menyebabkan aliran lava hingga menjejaskan perkampungan berhampiran, menyebabkan 215 maut dan ramai hilang.
Pihak berkuasa berkata mereka memantau rapat letusan terbaru ini, tetapi tiada arahan untuk berpindah ke tempat perlindungan. – AFP, 12 Disember, 2022.
Komen