SEKARANG ini Indonesia boleh masukkan orang utan yang merokok dalam senarai perokok negara itu.
Sebuah video yang dirakam Ahad lalu menunjukkan makhluk itu mengambil putung rokok yang dibuang pelawat zoo sebelum orang utan itu mula menghisap dan menghembus rokok itu umpama perokok tegar.
Justeru orang utan Borneo berusia 22 tahun di zoo Bandung itu dengan serta merta mula tular di media sosial.
Bagaimanapun ini bukanlah kali pertama orang utan dalam zoo dirakam merokok di Indonesia, negara yang mempunyai rekod teruk dalam penjagaan binatang, selain memegang rekod sebagai antara negara yang paling ramai perokok.
Pada 2012, seekor orang utan di zoo lain menjadi penagih nikotin, juga selepas mengutip putung yang dibuang pelawat.
Orang utan itu, bagaimanapun telah dipaksa berhenti merokok dengan serta merta.
Pada Rabu, jurucakap zoo Bandung berkata, walaupun kejadian itu patut disesali, ia masih punya pekerja untuk menjaga kurungan binatang itu.
Namun, pekerja yang bertugas ketika itu mungkin pergi ke tandas pada waktu itu, tambahnya.
Dalam pada itu, pejuang binatang mengutuk tingkah laku pengunjung selain menaikkan isu urus tadbir lemah zoo di Indonesia.
“Pengurusan lemah zoo juga perlu diambil kira,” kata Marison Guciano, pengasas Indonesia Animal Welfare Society.
“Tetapi, asas permasalahan ini ialah kita tidak ada standard kebajikan terhadap binatang di zoo. Hampir semua zoo dalam keadaan yang teruk… daripada kandang, keperluan makanan dan juga kesihatan binatang.”
Tahun lalu, aktivis menggesa zoo Bandung ditutup selepas beruang yang kurus didapati meminta makanan daripada pengunjung, selain binatang itu juga didapati memakan najis sendiri. – AFP, 7 Mac, 2018.
Komen