EU bimbang pembunuhan pemimpin sosial, pejuang hak asasi di Colombia


Badan bukan kerajaan, Somos Defensores (We Are Defenders) melaporkan yang sekurang-kurangnya sejumlah 106 pemimpin sosial dan pejuang hak asasi manusia telah dibunuh pada 2017, yang menyaksikan peningkatan sebanyak 32.5%. – Gambar EPA, 7 Mac, 2018.

KESATUAN Eropah (EU) bersama-sama Norway dan Switzerland meluahkan kebimbangan dengan peningkatan insiden serangan serta pembunuhan yang menimpa pemimpin sosial dan pejuang hak asasi manusia di Colombia.

Menurut data Pejabat Pesuruhjaya Tinggi bagi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, serangan ke atas pejuang hak asasi manusia di Colombia meningkat sebanyak 30% tahun lepas.

Badan bukan kerajaan, Somos Defensores (We Are Defenders) melaporkan yang sekurang-kurangnya sejumlah 106 pemimpin sosial dan pejuang hak asasi manusia telah dibunuh pada 2017, yang menyaksikan peningkatan sebanyak 32.5%.

Sementara itu, Pejabat Pembela Awam merekodkan bahawa antara Januari 2016 dan 27 Februari 2017, sejumlah 282 pemimpin sosial serta pejuang hak asasi manusia dibunuh di Colombia.

Pada 2016, pejabat itu menyatakan bahawa sejumlah 134 mangsa dalam kedua-dua kategori telah dibunuh secara kejam, tahun lepas 126 orang manakala pada 2018, jumlah yang dicatat setakat ini ialah 22 pembunuhan.

Oleh itu, EU telah menggesa kerajaan Colombia untuk terus menjamin “perlindungan berkesan” kepada pemimpin sosial.

Pada masa sama, EU berkata tugas pemimpin sosial adalah asas kepada strategi hak asasi manusia badan itu, yang turut menawarkan kolaborasi kepada organisasi sosial dan institusi pembela awam di Colombia. – Bernama, 7 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen