PERDANA Menteri Taiwan Su Tseng-chang mendakwa China melanggar peraturan perdagangan antarabangsa dan “mendiskriminasi” pulau itu selepas negara Tembok Besar itu menghentikan lebih banyak import Taiwan.
Menurut kementerian kewangan Taiwan, pihak berkuasa kastam China “tiba-tiba menggantung” import minuman beralkohol tertentu dari pulau itu pada Jumaat.
Menurut kementerian tersebut langkah itu berkaitan dengan peraturan yang dikenakan Beijing pada 1 Januari yang mewajibkan semua pengeksport makanan dan minuman beralkohol ke tanah besar berdaftar dengan kastam China. Beberapa syarikat Taiwan masih dalam semakan.
Tseng-chang menuduh Beijing melanggar norma Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dengan “membuat peraturannya sendiri” dan “mencampuri perdagangan melalui cara pentadbiran”.
China “bertindak kejam terhadap Taiwan dan mendiskriminasi pulau itu… Mereka meminta Taiwan melakukan ini dan melakukan itu,” katanya kepada pemberita hari ini.
Taiwan merancang untuk merayu kepada WTO dan akan membantu perniagaan yang terjejas, tambahnya.
Beijing mendakwa Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya akan diambil satu hari nanti, secara paksa jika perlu.
Ia sudah meningkatkan tekanan ketenteraan, diplomatik dan ekonomi ke atas pulau itu sejak pemilihan Presiden Tsai Ing-wen pada 2016, dan sebelum ini mengharamkan import produk lain dari pulau itu apabila hubungan semakin merosot.
“Mendengar #PRC mengharamkan beberapa produk dari #Taiwan sekali lagi, termasuk bir kami,” tulis menteri luar Taiwan Joseph Wu di Twitter, sambil menggunakan hashtag “FreedomBeer”.
“Tekanan ekonomi sudah tentu. Tetapi mereka tidak tahu apa yang mereka hilang: rasa kebebasan yang hebat.” – AFP, 11 Disember, 2022.
Komen