Cabaran Finas majukan filem Malaysia


 

SAYA merujuk kepada beberapa laporan media berkaitan penamatan lantikan saya selaku Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Saya ingin mengesahkan bahawa saya telah menerima surat daripada Pejabat YB Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil yang telah memendekkan tempoh lantikan saya sebagai pengerusi Finas selaras dengan kuasa Menteri bawah Sekyen 4(2) Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981.

Sebagai Menteri baharu perkara ini merupakan prerogatif beliau dan saya memahami bahawa sebagai pucuk pimpinan baru di Kementerian, beliau akan mempunyai visi dan cara kerja sendiri yang ingin dibawa dan memerlukan sokongan ahli-ahli pasukannya sendiri.

Bagi saya, tindakan ini tiada kaitan dengan tohmahan sesetengah pihak bahawa terdapat penyelewangan dana Finas.

Kesemua keputusan berkaitan perolehan telah mengikuti tatacara dan tertib Finas malah dibuat secara bersama melalui perbincangan mesyuarat Ahli Perbadanan Finas.

Saya bersedia untuk membantu sebarang siasatan jika diperlukan.

Pada kesempatan ini jua, saya ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada seluruh keluarga Finas yang telah memberikan sepenuh kerjasama dan sokongan sepanjang tempoh saya memegang jawatan pengerusi Finas.

Tiada kata yang mungkin diungkapkan bagi menggambarkan rasa terharu dan penghargaan saya secara peribadi kepada semua kakitangan termasuk rakan-rakan Ahli Perbadanan Finas yang amat saya hormati dan kasihi.

Dalam masa yang sama, adalah menjadi harapan seikhlas hati agar rakan-rakan industri filem yang telah bertemu dan berbincang dengan pihak saya sebelum ini akan terus memberi kerjasama dan membantu Finas mencapai kecemerlangan bersama.

Saya amat yakin dengan gabungan yang harmoni antara penggerak industri kreatif negara bersama Finas mampu melonjakkan nama Malaysia ke persada antarabangsa.

Keupayaan dan kemampuan penggerak industri kreatif negara setimpal dan mampu bersaing secara sihat dengan negara luar namun hanya perlu mempertingkatkan usaha pemasaran dengan lebih agresif.

Saya amat yakin penjenamaan Malaysia sebagai destinasi filem yang boleh melonjakkan ekonomi negara akan lebih menyerlah melalui suntikan pelaburan besar daripada penggiat seni dari seluruh dunia.

Berhubung dengan ini, saya ingin juga menyatakan kesediaan untuk membantu dalam segala aspek peralihan kepimpinan Finas yang bakal berlaku.

Bakal penganti saya mempunyai tanggungjawab yang berat dalam menghadapi pelbagai cabaran industri pada masa kini:

1. Wabak Covid-19 telah menjejaskan industri dengan teruk dan ia sangat memerlukan bantuan kerajaan pada waktu ini untuk bangkit semula. Kita perlu memperbanyakkan geran dan bantuan untuk menggalakan semula pengambaran filem di negara kita.

Saya harap kepimpinan yang baharu akan juga menekankan keperluan ini dalam bajet baharu kerajaan sepertimana saya beserta ahli-ahli Perbadanan lain telah cuba lakukan pada tahun ini.

Kita perlu juga mengkaji cara untuk mendapatkan institusi-institusi kewangan untuk memahami industri ini dan memperkenalkan kemudahan financing yang tidak membebankan industri untuk memastikan kemampanan industri secara menyeluruh dan supaya ia tidak hanya bergantung kepada geran kerajaan. 

2. Isu-isu berkaitan kebajikan ahli industri terutamanya kru-kru filem amat kritikal. Kita perlu memastikan mereka bukan hanya dilindungi oleh skim perlindungan insurans sosial (seperti Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri di bawah Perkeso) malah kita perlu menangani isu gaji yang adil dan setimpal bagi mereka.

Isu ini sangat kompleks dan memerlukan kita melihatnya bukan sahaja dari segi penggajian daripada studio dan production house tetapi lebih penting, juga dari segi bagaimana filem-filem kita dihargai dan nilai yang dibeli oleh saluran-saluran media yang menayangkan filem-filem tersebut.

3. Kebangkitan negara jiran seperti Thailand dalam usaha mereka untuk mempromosikan negara itu sebagai destinasi pengambaran filem antarabangsa perlu dipandang serius.

Sekiranya proses dan pertimbangan jawatankuasa Puspal tidak ditambahbaik dengan segera, ia akan menyebabkan industri kita jauh ketinggalan dan pelaburan masuk ke dalam negara kita berkurangan.

Saya telah memulakan proses mendapat bantuan Kementerian Komunikasi, Economic Planning Unit (EPU) dan Malaysian Productivity Corporation (MPC) melalui platform Economic Action Council (EAC) untuk menyelesaikan isu ini dan saya sangat berharap perkara ini tidak ditamatkan begitu sahaja.

4. Finas sebagai sebuah agensi yang telah lama ditubuhkan mempunyai pelbagai tatacara dan proses birokratik yang mengekang kebolehan ia bertindak pantas dalam keadaan pemulihan ini.

Ini sekaligus mengikat tangan dan kaki warga Finas yang sentiasa rajin dan bertungkus lumus untuk membantu pihak industri.

Justeru kerangka kerja baru yang lebih efektif dan praktikal perlu diwujudkan untuk mengatasi cabaran ini.

Ini hanyalah sebahagian perkara keutamaan daripada pelbagai cabaran dan isu yang perlu ditangani bakal pengganti saya.

Saya amat yakin dan percaya pihak pengurusan Finas akan melakukan yang terbaik dalam memastikan peralihan kepimpinan yang tidak asing lagi bagi warga Finas akan berjalan dengan sebaik mungkin.

Secara peribadi saya bersedia untuk membantu sebarang usaha dalam memastikan kelangsungan usaha dan inisiatif sebelum ini tercapai agar Finas dan kepimpinan baru terus mencapai kecemerlangan dan kejayaan. – 11 Disember, 2022.


* Zurainah Musa, bekas pengerusi Finas.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen