KERAJAAN AS menghantar delegasi kanan ke China sejak ikrar dibuat bulan lepas oleh Presiden China Xi Jinping dan Presiden AS Joe Biden untuk memperbaiki hubungan kedua-dua negara.
Pembantu Setiausaha Negara untuk Hal Ehwal Asia Timur dan Pasifik Daniel Kritenbrink akan menyertai Pengarah Kanan Majlis Keselamatan Nasional untuk China dan Taiwan Laura Rosenberger pada lawatan 11-14 Disember.
Kedua-dua mereka akan melawat China, Korea Selatan dan Jepun.
Di China, Kritenbrink akan membuat lawatan susulan selepas pertemuan Biden dan Xi di Bali bulan lepas, di mana kedua-dua berikrar “untuk meneruskan secara bertanggungjawab pengurusan persaingan antara dua negara dan meneroka area berpotensi untuk kerjasama”, kata Jabatan Negara.
Kritenbrink juga akan memantau persediaan lawatan Setiausaha Negara Antony Blinken ke China pada awal 2023, lawatan pertama dibuat diplomat kanan AS sejak empat tahun lepas, tambahnya.
AS dan China adalah dua kuasa terbesar ekonomi dunia, memperuntukkan belanja tertinggi berbanding mana-mana negara dunia untuk ketenteraan dan sering terjebak dalam persaingan strategik yang sengit.
Pada mesyuarat di Bali, kedua-dua pemimpin berbincang mengenai isu yang menjadi pertikaian, termasuk masa hadapan Tawain, sekatan AS ke atas import teknologi tinggi China dan tindakan China meluaskan pengaruhnya di seluruh dunia.
Biden menamatkan pertemuan dengan Xi dan berikrar tidak wujud keperluan untuk Perang Dingin baharu, sementara Xi memberitahu Biden yang kedua-dua negara “berkongsi lebih, bukan kurang, kepentingan bersama”. – AFP, 11 Disember, 2022.
Komen