Gunung berapi di Chile hambur debu, asap


Perkhidmatan Geologi dan Perlombongan Nasional Chile melaporkan yang gunung berapi Lascar meletus pada 12:36 pagi. – Gambar AFP, 11 Disember, 2022.

SEBUAH gunung berapi di Banjaran Andes, utara Chile meletup pada awal Sabtu, menyebabkan gempa kecil dan menghambur asap dan debu sejauh 6,000 meter ke langit.

Perkhidmatan Geologi dan Perlombongan Nasional Chile melaporkan yang gunung berapi Lascar meletus pada 12:36 pagi.

Gunung itu menghamburkan “letusan awal” debu dan asap sejauh 6,000 meter, katanya.

Pihak berkuasa menaikkan tahap amaran ke “kuning”, menandakan pertambahan aktiviti gunung berapi dan mewujudkan kawasan larangan masuk sejauh lima kilometer di sekitar gunung itu.

Mereka juga memberi amaran kepada pesawat udara tentang risiko debu dan asap.

Pihak berkuasa juga bekerjasama rapat dengan pegawai di Talabre, bandar sejauh 30 kilometer dari gunung itu, sekiranya pemindahan penduduk perlu dilakukan. Tetapi pada masa ini, tiada kerosakan harta benda dilaporkan.

Lascar yang terletak 5,592 dari aras laut dan 70 kilometer dari San Pedro de Atacama,  adalah pusat pelancongan popular, tapak astronomi amatur dan pemula lawatan ke Gurun Atacama, tempat terkering di bumi.

Lascar meletup pada 1993 tetapi tidak mempunyai aktiviti antara 2006 hingga 2015.

Amaran kuning juga dilanjutkan sehingga ke selatan wilayah itu yang turut menempatkan jajaran gunung berapi Nevados de Chillan dan gunung berapi Villarrica. – AFP, 11 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen