Tiba masa Anwar buktikan pengaruh, baik pulih ekonomi Malaysia


PERTUBUHAN Serikat Rakyat Malaysia (Serikat Malaysia) percaya ini adalah masa untuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membuktikan pengaruhnya dalam memperkuatkan imej Malaysia di persada antarabangsa.

Serikat Malaysia percaya hubungan luar negara merupakan mekanisme penting dalam memperkuatkan ekonomi negara terutama dengan berdepan kemelesetan ekonomi yang dijangka akan berlaku pada 2023.

Ini merupakan fasa penting untuk Malaysia lebih menyerlah dalam menarik pelaburan dengan polisi luar negara dengan memperkuatkan kerjasama dan integrasi Malaysia dengan kumpulan-kumpulan antarabangsa. 

Serikat Malaysia terus percaya bahawa Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (Asean) terus menjadi komponen penting kepada Malaysia dalam meningkat pertumbuhan ekonomi dan juga sebagai pelindung kepada kesan kemelesetan ekonomi.

Maybank telah mengeluarkan satu laporan Asean Macro 2023 Year Ahead yang jelas menyatakan perdagangan intra-Asean mampu meningkatkan kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2023.

Perdagangan intra-Asean terus meningkat lebih 30% dan ini menunjukkan permintaan antara negara Asean terus meningkat. Pasaran Asean sangat signifikan kerana mempunyai populasi seramai 668 juta dengan mewakili 9% daripada populasi dunia. 

Asean juga merupakan kawasan perdagangan tersibuk di dunia dan menjadi kawasan tumpuan antara negara-negara barat dan timur.

Dengan berlandas perdagangan dan pertumbuhan ekonomi semasa awal penubuhannya. Pasaran Asean akan membantu untuk meluaskan pasaran bagi syarikat tempatan Malaysia terutama dengan pelaksanaan bebas tarif kepada hampir 98% produk di pasaran di bawah perjanjian Asean trade in Goods Agreement (ATIGA).

Serikat Malaysia mencadangkan Malaysia terus memperkuatkan kerjasama dengan Kerajaan Indonesia dalam mengetuai Asean secara bersama dalam isu pertumbuhan ekonomi dan juga dalam meneutralkan pengaruh negara besar dunia seperti China bagi Laut Cina Selatan dan membina semula hubungan Amerika Syarikat selepas isu 1MDB.

Selain daripada Asean, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) terus menjadi rakan kerjasama penting kepada Malaysia. Jumlah populasi bagi negara-negara OIC adalah seramai 1.9 bilion dan menyaksikan pertubuhan ini terus mempunyai pengaruhnya tersendiri terutama dalam dunia islam.

Malaysia mempunyai sejarah tersendiri dalam OIC dengan terlibat secara penuh semasa awal penubuhan OIC dan mantan perdana menteri Malaysia yang pertama iaitu Tunku Abdul Rahman turut menjadi setiausaha agung pertama OIC pada 1970.

Penglibatan lebih aktif Malaysia ke dalam OIC akan memberi dua manfaat besar iaitu meningkat pelaburan oleh negara-negara Islam terutama Turki dan Arab Saudi dan seterusnya akan mengembali dan memperkuatkan imej Anwar Ibrahim sebagai pejuang Islam terutama dalam isu Palestin kepada rakyat Malaysia.

Serikat Malaysia turut mencadang Malaysia berfokus untuk menjadi jambatan antara negara-negara Islam dalam memastikan OIC terus berfokus kepada pembangunan negara-negara Islam dan seterusnya meningkatkan pelaburan dan perdagangan intra-OIC.

Anwar telah menunjukkan bahawa beliau mempunyai hubungan baik di Asean seperti Presiden Indonesia Joko Widodo dan juga rakan rapatnya iaitu Presiden Turki  Recep Tayyip Erdogan.

Serikat Malaysia percaya ini adalah masa untuk Anwar membuktikan pengaruhnya dalam membaik pulih ekonomi negara. – 11 Disember, 2022. 

* Pertubuhan Serikat Rakyat Malaysia, sebuah badan pemikir dasar.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen