SEORANG lelaki warga Maghribi yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup atas cubaan serangan keganasan yang digagalkan penumpang di dalam sebuah kereta api di Paris pada 2015 dikekalkan hukuman itu selepas rayuannya ditolak mahkamah Perancis pada Khamis.
Kejadian itu kemudiannya difilemkan oleh Clint Eastwood, “The 15:17 to Paris”.
Ayoub El Khazzani, kini berusia 33 tahun, ditahan penumpang, termasuk tentera Amerika yang tidak bertugas, dalam kereta api Thalys dari Amsterdam pada 21 Ogos 2015 dan disabit bersalah lima tahun kemudian atas dakwaan “cuba melakukan serangan keganasan”.
Serangan itu berlaku ketika Perancis masih lagi dalam situasi berhati-hati selepas serangan keganasan di pejabat majalah Charlie Hebdo pada Januari 2015.
Kejadian itu memulakan gelombangan serangan keganasan di Perancis, yang sering dilakukan “penyerang tunggal” yang mendakwa bertindak untuk kumpulan pengganas Negara Islam atau kumpulan lain, yang membunuh 250 orang.
Khazzani, yang diasingkan di dalam penjara sejak 2015, meluahkan “kekesalan” dan “malu” sebelum hukuman dibaca di mahkamah.
Tetapi hakim bersidang David Hill berkata Khazzani tidak menawarkan maklumat baharu untuk membantu penyiasat memahami bagaimana dia bersedia untuk melakukan serangan.
“Wujud sebab untuk mencurigai sebarang muhasabah diri,” tambahnya.
Hukuman Khazzani meliputi hukuman penjara 22 tahun sebelum peluang parol.
Dia mengakui menaiki kereta api dengan senapang automatik AK-47, pistol serta 300 biji peluru, berkata dia mencari tentera AS.
Dia memasuki tandas untuk menyiapkan diri dan selepas itu menembak seorang penumpang yang cuba menghalangnya. Tembakan itu memberi amaran kepada penumpang lain yang menyebabkan mereka bertindak memberkasnya.
Penumpang tersebut termasuk tiga rakyat Amerika yang sedang bercuti, dua daripada mereka adalah tentera tidak bertugas - Spencer Stone and Aleksander Skarlatos.
“Kami hanya buat apa kami perlu buat untuk terus hidup,” kata Skarlatos pada perbicaraan awal.
Khazzani mendakwa dia bertindak atas arahan Abdelhamid Abaaoud, warga Belgium yang menjadi salah satu dalang tragedi berdarah serangan di kelab malam dan pub di Paris pada November 2015 yang mengorbankan 130 orang.
Tiga lagi rakan subahat Khazzani dan Abaaoud, dijatuhi hukuman penjara antara tujuh hingga 27 tahun tidak merayu hukuman mereka. – AFP, 11 Disember, 2022.
Komen