LEBIH 1.5 juta orang terputus bekalan kuasa di bandar Odessa, selatan Ukraine pada Sabtu selepas Rusia melancarkan serangan ‘dron berani mati’ pada malam sebelumnya, kata Presiden Volodymyr Zelensky.
Pihak berkuasa tenaga wilayah itu memberi amaran yang kerja baik pulih selepas serangan malam Jumaat itu akan mengambil masa berminggu-minggu dan mungkin sehingga tiga bulan.
“Selepas serangan dron, Odessa dan bandar lain serta perkampungan di seluruh wilayah berada dalam kegelapan,” kata Zelensky.
“Setakat ini, lebih 1.5 juta orang di wilayah Odessa tiada bekalan elektrik.”
Kyrylo Tymoshenko, timbalan ketua pentadbiran presiden, berkata, hanya infrastruktur kritikal termasuk hospital dan wad bersalin mempunyai akses kepada bekalan elektrik.
“Situasi kekal sukar tetapi di bawah kawalan,” kata Tymoshenko.
Wilayah terletaknya Laut Hitam itu adalah destinasi pelancongan popular untuk ramai warga Ukraine dan Rusia sebelum Presiden Vladimir Putin melancarkan operasi pencerobohan ketenteraan pada 24 Februari.
Maksym Marchenko, gabenor wilayah itu berkata Rusia menyerang bandar itu dengan ‘dron berani mati’ sepanjang malam.
“Kesan serangan, tiada bekalan elektrik di hampir seluruh daerah dan komuniti di dalam wilayah kami,” katanya.
Dua dron ditembak jatuh oleh tentera udara Ukraine, tambah Marchenko.
Pada Jumaat, Kyiv berkata wilayah selatan negara itu termasuk Odessa mengalami masalah bekalan elektrik sejak Rusia kerap melancarkan serangan ke atas infrastruktur tenaga Ukraine.
Rusia melancarkan puluhan peluru berpandu di infrastruktur utama Ukraine bermula Isnin, memberi tekanan ke atas sumber tenaga yang negara terjejas teruk perang itu.
Rusia mula menyasarkan infrastruktur tenaga Ukraine selepas kekalahan tenteranya yang memalukan.
Pada Khamis, Putin berikrar terus memerangi sumber tenaga Ukraine walaupun menerima kecaman pelbagai pihak kerana ia boleh mengheret jutaan orang ke masalah kesejukan dan kegelapan ketika musim sejuk. – AFP, 11 Disember, 2022.
Komen