KESIAPSIAGAAN dan kerjasama agensi keselamatan di bawah arahan Majlis Keselamatan Negara 20 (MKN 20) dalam aspek pengurusan bencana di ibu negara berada pada tahap yang baik, namun masih ada ruang penambahbaikan yang boleh diberi perhatian.
Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim berkata perkara itu perlu dipertimbangkan oleh setiap ketua agensi keselamatan terutamanya terhadap aspek tindak balas penyaluran bantuan kepada mangsa bencana.
“Diharapkan selepas ini ketua agensi akan menilai dan tambah baik supaya apabila berlaku bencana di Kuala Lumpur, kita lebih bersedia dan dapat bergerak sebagai satu kumpulan dalam memberi bantuan dan manfaat lebih besar kepada masyarakat.
“Kita tidak mahu setiap satu (agensi keselamatan) bergerak secara solo, sebaliknya beri bantuan kepada mangsa di Kuala Lumpur secara satu kumpulan bagi memenuhi keperluan MKN 20,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri simulasi banjir (Field Training Exercise-FTX) MKN 20 Siri 1/2022 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di Kampung Periuk, Kuala Lumpur hari ini.
Sementara itu, Azmi berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti 25 lokasi hotspot banjir kilat di ibu negara buat masa ini.
“Kita sedia maklum biasanya pada bulan Disember dan Januari akan berlaku banjir kilat di ibu negara yang mana airnya cepat naik dan surut berpunca daripada isu perparitan dan longkang tersumbat.
“Menerusi simulasi ini juga, diharapkan selepas ini kita dapat tambah baik prasarana di lokasi itu supaya bilangannya (hotspot) dapat dikurangkan demi kemaslahatan rakyat,” katanya.
Hari ini, PDRM bersama jawatankuasa pengurusan bencana negeri dan daerah Wilayah Persekutuan melaksanakan program simulasi banjir bertujuan meningkatkan tahap kefahaman dan keupayaan setiap agensi dalam aspek pengurusan bencana.
Seramai 350 peserta daripada 23 agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan menjayakan simulasi itu yang dijalankan di tiga lokasi iaitu di Kampung Periuk, Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri Wilayah dan Dewan Sultan Sulaiman. – Bernama, 10 Disember, 2022.
Komen