PBB gesa Mexico perangi ‘femicide’


Purata tujuh wanita dibunuh setiap hari di Mexico. Gambar menunjukkan penunjuk perasaan melakukan protes di Mexico menggesa krisis nasional jenayah berasaskan gender itu ditangani segera. – Gambar AFP, 7 Mac, 2018.

SETIAP hari purata tujuh wanita dibunuh di Mexico, demikian menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menggesa pihak berkuasa negara itu mengambil tindakan segera bagi membanteras “femicide” atau pembunuhan yang sengaja dilakukan ke atas golongan hawa berikutan jenayah kebencian berdasarkan jantina.

Sehubungan itu, Wanita PBB melancarkan satu monumen seni di sini di bawah slogan “Stop femicide; the moment is now. Not one woman less.”

‘Kami bergabung untuk mengingatkan mangsa wanita berkaitan keganasan berasaskan jantina dan menyeru institusi-institusi di Mexico mempertingkat tindakan serta membanteras fenomena yang kejam dan dahsyat ini,” kata Jan Jarab, wakil Hak Asasi Manusia PBB di Mexico.

Belen Sanz, wakil Wanita PBB pula menegaskan bahawa kesaksamaan jantina merupakan tonggak asas bagi mencapai objektif pembangunan mampan.

Menurut PBB, setiap tahun sejumlah 64,000 wanita dan kanak-kanak dibunuh di seluruh dunia; 14 daripada 25 negara dengan bilangan tertinggi femicide ialah Amerika Latin dan Caribbean. – Bernama, 7 Mac, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen