Bilangan petugas media terbunuh meningkat lebih 40%


Peperangan di Ukraine antara penyebab jumlah kematian dalam kalangan petugas media antarabangsa meningkat saban tahun. – Gambar EPA, 10 Disember, 2022.

ANGKA kematian membabitkan profesion kewartawanan dan media pada 2022 meningkat lebih 40% berbanding tahun lalu, lapor agensi akhbar Jerman, DPA.

Menurut laporan Persekutuan Wartawan Antarabangsa (IFJ) yang dikeluarkan pada Jumaat, seramai 67 petugas media terbunuh di tempat kerja setakat tahun ini - meningkat daripada 47 pada 2021.

“Peningkatan jumlah kematian membabitkan wartawan dan petugas media mendatangkan kebimbangan yang besar dan kerajaan di seluruh dunia digesa mengambil tindakan mempertahankan kewartawanan, satu bidang yang menjadi antara tonggak utama demokrasi,” kata setiausaha agung IFJ Anthony Bellanger dalam satu kenyataan.

Peperangan di Ukraine, pergolakan di Haiti, keganasan yang semakin meningkat di Colombia serta aktiviti jenayah di Mexico menjadi penyumbang utama kepada lonjakan kes, menurut pertubuhan yang mewakili kira-kira 600,000 wartawan di 146 negara.

“Secara keseluruhan, Ukraine dikategorikan sebagai negara paling berbahaya bagi pengamal media, dengan 12 kematian dilaporkan, manakala Amerika Utara dan Selatan dikategori sebagai wilayah paling berbahaya, dengan 29 kematian.

Laporan yang dikeluarkan sempena Hari Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu juga mendedahkan “sekurang-kurangnya 375 pengamal media kini dipenjarakan kerana laporan mereka.”

Kebanyakan mereka menjalani hukuman penjara di China, Myanmar, Turkiye, Iran dan Belarus.

Kumpulan itu menuntut “tindakan segera” daripada masyarakat antarabangsa untuk melindungi wartawan di seluruh dunia. – Bernama, 10 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen