Presiden baharu Peru beri bayangan pilihan raya awal


Presiden baharu Peru Dina Boluarte semalam memberi bayangan pilihan raya akan diadakan lebih awal daripada dijadualkan. – Gambar AFP, 10 Disember, 2022.

PRESIDEN baharu Peru Dina Boluarte semalam memberi bayangan pilihan raya akan diadakan lebih awal daripada dijadualkan.

“Jika keadaan memaksa” kerajaan akan berbincang untuk mengadakan pilihan raya lebih awal, Xinhua memetik Boluarte memberitahu media tempatan.

Boluarte mengambil alih jawatan Presiden pada Rabu selepas Kongres mengambil tindakan mendakwa Pedro Castillo beberapa jam selepas percubaannya membubarkan badan perundangan menemui kegagalan.

Castillo sebelum itu mendakwa bahawa usul pemecatannya yang diluluskan Kongres “adalah sebahagian daripada percaturan politik” terhadapnya.

Kenyataan Boluarte mengenai pilihan raya awal dibuat di tengah-tengah protes yang tercetus di Lebuh Raya Pan-Amerika di wilayah Arequipa, Ica dan Tacna di Peru manakala orang ramai bertindak mengadakan sekatan di jalan menggunakan batu, kayu dan tayar membantah penahanan Castillo serta menuntutnya supaya dibebaskan.

Boluarte menyeru supaya rakyat kekal tenang, dengan alasan pelantikannya adalah selaras dengan Perlembagaan. – Bernama, 10 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen