Pejuang kalah bukan sebab GTA


SAAT ini, Pejuang sedang menghadapi konflik terbesar bersama badan gabungannya iaitu Gerakan Tanahair (GTA). 

Walaupun Ketua Setiausaha GTA Marzuki Yahya dalam kenyataan media pada 6 Disember 2022 menyatakan tentang ketetapan yang dipersetujui untuk meneruskan pendaftaran GTA, namun, saya difahamkan keputusan tersebut mendapat tentangan yang hebat dari kalangan pemimpin Pejuang.

Kekalahan besar di Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lepas menjadi faktor terbesar kenapa sebahagian besar pimpinan Pejuang menolak kerjasama bersama GTA diteruskan.

Antara isu-isu yang dibangkitkan adalah jumlah pengikut dan penyokong GTA yang dikatakan mampu meraih undi Melayu terbesar dan memenangi sejumlah kerusi bertanding di bawah logo Pejuang. Isu-isu lain seperti kekurangan dana kempen, bahan kempen dan jentera turut dipersoalkan.

Secara peribadi, saya berpandangan adalah tidak wajar untuk Pejuang menuding 100% kesalahan kepada GTA atas kehilangan wang deposit pada PRU15 yang lepas.

Ini bukan kali pertama Pejuang, satu parti politik baru kalah teruk dalam pilihan raya. 

Merujuk keputusan pilihan raya negeri (PRN) Johor pada Mac 2022, Pejuang yang ketika itu bertanding solo tanpa gabungan GTA juga menghadapi kekalahan teruk, hilang 42 kerusi yang dipertandingkan. 

Dibandingkan pula dengan kekalahan di PRU15, dengan gabungan empat parti komponen dan satu kluster Gagasan Bangsa (bukan parti politik), turut menghadapi nasib yang sama dengan kekalahan 125 kerusi yang dipertandingkan.

Pada pandangan saya, parti komponen dan kluster Gagasan Bangsa yang melengkapi gabungan GTA sebenarnya telah memperkukuh kedudukan Pejuang dalam kalangan rakyat Malaysia dan bukan hanya retorik politik semata-mata. 

Saya berikan contoh di Pahang. Jika dibandingkan calon Pejuang dan calon GTA yang bertanding, secara puratanya jumlah dan peratusan undi calon GTA adalah lebih besar berbanding dengan calon Pejuang walhal usia GTA jauh lebih muda daripada usia penubuhan Pejuang. 

Secara logiknya, jika benarlah GTA punca kekalahan Pejuang, haruslah jumlah undi calon GTA lebih rendah daripada jumlah undi calon Pejuang itu sendiri. 

Namun, sebaliknya telah membuktikan calon GTA diterima oleh kumpulan pengundi di Pahang.

Selaku pemimpin anak muda Pejuang yang datang dari kelompok rakyat B40, yang memilih dan mendukung cita-cita Pejuang sebagai parti yang akan membawa pembaharuan kepada landskap politik semasa, saya melihat perkara utama yang perlu diberi perhatian adalah penetapan halatuju dan gerak kerja parti yang jelas. 

Selama dua tahun dalam Pejuang, saya melihat Pejuang lebih bersandarkan kepada aura dan ketokohan pengasasnya iaitu Dr Mahathir Mohamad. 

Adapun kepimpinan senior, berpengalaman dan muka-muka baru di dalam parti tidak terlepas daripada “menggunakan” Dr Mahathir sebagai batu loncatan dalam karier politik.

Natijahnya, pemimpin Pejuang harus berlapang dada menerima kekalahan ini sebagai satu ‘teguran’ daripada rakyat.

Mereka sudah muak dengan perpecahan yang berlaku dalam kalangan pemimpin yang pada akhirnya rakyat menerima tempias. 

Sekali air besar, sekali tepian beranjak. Tetapkan hala tuju, perkemas strategi dan perkuat asas kepimpinan.

Nilai semula kepimpinan sedia ada. Anak muda sudah jelak dengan pemimpin yang hanya pandai berhujah tanpa mendengar sendiri suara akar umbi di lapangan. 

Tulisan ini terbuka kepada semua memandangkan sebelum ini suara pemimpin anak muda inilah yang sering diketepikan atas alasan masih muda, tidak matang dan tiada asas politik. 

Bagaimana yang dikatakan pemimpin mendengar suara akar umbi, calon yang dikatakan memperjuangkan nasib anak muda, sedangkan hak kebebasan bersuara anak muda ini dinafikan dan suara kami ditolak mentah-mentah? 

Adakah ini yang dikatakan membawa suara akar umbi tanpa prejudis? – 10 Disember, 2022.

* Farhanim Zainal, ketua Pejuangnita Muda Pahang.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen