Anwar salah keutamaan: Mana tindakan terhadap tauke telur dan simen?


BILA dah jadi kerajaan, kita perlu tahu apa keutamaan. Tidak boleh lagi bermentaliti pembangkang populis.

Sekarang ini rakyat resah, kecewa dan marah dengan masalah kekurangan bekalan serta lonjakan harga telur dan simen.

Dua isu ini bukan baru bermula semalam. Sepatutnya, siapa juga menjadi kerajaan selepas PRU15, inilah keutamaan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Rakyat berdepan dengan isu kekurangan bekalan telur dan harganya melambung. Harga makanan menggunakan telur pun ikut naik. Contohnya laporan berita mengatakan harga roti canai telur naik dari RM2.50 ke RM3.20. Naik 70 sen.

Simen pula melonjak 30 peratus iaitu daripada RM17 bagi setiap beg 50kg, sekarang naik sehingga RM22.50. Jika simen naik harga, semua bahan binaan melibatkan simen akan turut naik. Padahal, simen adalah Barangan Kawalan Berjadual yang tak sepatutnya naik.

Semua ini berlaku disebabkan monopoli dan permainan licik tauke-tauke kaya yang menguasai industri makanan dan pembinaan. Yang jadi mangsa ialah rakyat dan kontraktor terutama kontraktor kecil.

Telur dan simen sepatutnya menjadi keutamaan Anwar Ibrahim.

Tapi Anwar utamakan beras. Ya harga beras penting, tapi kenapa masih tak ada idea bagaimana nak selesaikan masalah harga telur dan simen yang lebih mendesak sekarang?

Inilah bahana jika terlalu banyak wayang populis tapi sebenarnya tong kosong saja. Berlakulah salah keutamaan (wrong priorities).

Tak adakah keinginan nak tegur tauke-tauke kaya “tertentu” dalam industri berkaitan telur dan simen? Itu sepatutnya jadi keutamaan kerajaan.

Saya setuju jangan ada monopoli tetapi letaklah keutamaan yang betul dan jangan lindungi tauke-tauke kawan-kawan PH-DAP daripada “teguran”. Jangan pilih bulu.

Wahai Pak Syeikh, itu belum lagi saya tanya mengenai harga minyak. Berapa kali esok yang Pak Syeikh perlukan untuk turun harga minyak? – 9 Disember, 2022.

* Wan Saiful Wan Jan, ketua penerangan Bersatu

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen