AS lulus RUU pertahanan merangkumi bantuan geran kepada Taiwan


Amerika Syarikat sedang berusaha mempercepatkan penjualan senjata ke Taiwan, yang mendapat kritikan lantang China. – Gambar EPA, 9 Disember, 2022.

DEWAN Perwakilan Amerika Syarikat (AS) pada Khamis meluluskan rang undang-undang (RUU) perbelanjaan pertahanan yang merangkumi sehingga AS$10 bilion bantuan geran ketenteraan untuk Taiwan.

AS sedang berusaha mempercepatkan penjualan senjata ke pulau itu, yang mendapat teguran lantang daripada Beijing.

Akta Kelulusan Pertahanan Nasional (NDAA) untuk 2023 – yang masih memerlukan kelulusan Senat dan tandatangan Presiden Joe Biden untuk menjadi undang-undang – akan meluluskan bantuan geran untuk Taiwan sehingga AS$2 bilion setahun dari 2023 hingga 2027.

Akta itu juga memberi kuasa kepada Biden untuk memberikan Taiwan sehingga AS$1 bilion setahun dalam barangan pertahanan daripada simpanan AS, atau perkhidmatan lain seperti latihan ketenteraan.

Malah ia memerlukan Setiausaha Negara dan Pertahanan untuk “mengutamakan dan mempercepatkan pemprosesan permintaan dari Taiwan di bawah program Jualan Tentera Asing.”

NDAA “akan meningkatkan secara dramatik perkongsian pertahanan Amerika Syarikat dengan Taiwan,” kata Senator Bob Menendez, pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Luar, dalam satu kenyataan sebelum RUU itu diluluskan.

Beijing “tegas menentang AS menggunakan Akta Kelulusan Pertahanan Nasional untuk meluluskan kandungan negatif berkaitan China,” kata jurucakap kementerian luar China Mao Ning kepada pemberita selepas RUU itu diluluskan. – AFP, 9 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen